“Tak Apa, Dekat Je Depan Tu” – Suami Degil Biarkan Isteri Baru Bersalin Jalan Jauh Sambil Mengendong Bayi

Suami seharusnya memudahkan urusan isteri. Lebih-lebih lagi saat isteri baru selesai melahirkan anak. Namun, lain pula yang berlaku pada seorang ibu ini.

Dia dibiarkan berjalan jauh, walaupun baru selesai melahirkan anak. Si suami yang ada di sisi seakan tidak memahami kesakitan yang ditanggung oleh isterinya yang baru bersalin itu.

Kau rasa?

SEWAKTU mengiringi isteriku keluar dari wad bersalin bersama bayinya, kami ditemani Abah dan ibuku Ama. Sambil menunggu di salah satu dari empat pintu lif, di belakang kami, datang seorang suami bersama isterinya.

Si isteri itu mengendong bayi yang baru dilahirkan. Perlahan-lahan si ibu ni menyusun langkah. Sesekali berhenti sebentar mencuri nafas.

Aduhai, bagaimana tidak aku merasa janggal sekali? Sedang aku pula sedang menyorong kerusi roda isteriku dengan anak baru kami di pangkunya. Kasihannya kami pada si ibu ini.

Bersama kami menunggu lif, seorang lelaki bertaraf pakcik bagiku, tiba-tiba menegur tiga beranak ini.

“Eh, kenapa awak berjalan kaki ni? Kan ada kerusi roda? Jauh ni.” katanya.

“Ha ah, awak (si suami) boleh turun ke tingkat bawah, tinggalkan IC/Lesen dan ambilkan kerusi roda di kaunter untuk isteri. Isteri tinggal kejap duduk di sini.” kata Ama yang baru perasan keadaan si isteri.

Si ibu cuma mampu tersenyum kelat. Jelas raut wajahnya tidak bermaya, letih melahirkan pun masih tersisa lagi.

“Tak apa, kuat lagi ni.” balas si suami.

Mendengar jawapannya si suami, entah kenapa ibuku begitu ‘fighter’ sekali.

“Eh, janganlah cakap macam tu. Yang kuat tu awak. Kesian dia (isteri) ni, penat bersalin tadi.” balas Ama.

“Tak apa, ok lagi ni. Dekat je depan tu,” jawab si suami yang membuatkan kami bertambah geram.

“Eh, jauh. Jauh tau nak ke pintu bawah sana. Memang dekat bagi awak. Jauh bagi isteri tu.” balas pakcik tadi sedikit tinggi suaranya.

“Ok je ni, takpe.” balas si suami dengan senyuman paksa.

Isteri di belakangnya masih senyum kelat dari tadi.

“Tengah hujan ni, bang. Jalan licin tau, bahaya.” kata aku yang turut ‘mendidih’.

Mungkin perasan situasi ini semakin ‘tegang’, Abah aku cepat-cepat menyelit.

“Dah, dah, takpe. Dah orangnya taknak. Biarla.”

Sekonyong-konyong sepi terus suasana.

Selang beberapa saat, pintu lif pun terbuka. Lalu semua orang pun masuk, membawa sepi bersama.

Phew, walau macam mana pun, kita kena berterima kasih pada Abah. Entah tak tau jadi apa kalau dibiar tegang suasana tadi.

Betutllah kata Abah, itu adalah pilihan dia. Mungkin amat biasa bagi sesetengah orang, untuk memilih jalan payah dalam hidupnya.

Aku sebagai suami, sejujurnya, faham benar kenapa lelaki itu tidak mengambil kerusi roda demi isterinya.

Kerana, aku yang lelaki pun tercungap-cungap nak ambik kerusi roda tu.

Diulangi, aku ni lelaki tau. Lelaki yang tidak lalui tiga zaman ini:

  1. Yang tidak rasai loya muntah sakit kaki silang urat sembilan purnama macam perempuan masa mengandung.
  2. Yang tidak bertarung curi-curi nafas atau dipotong dijahit pada tubuh demi lahirkan nyawa baru bagai ibu yang melahirkan.
  3. Yang tidak berhencut-hencut menyusui anak ikat perut jaga makan minum tenaga seperti ibu lalui detik-detik berpantangnya.

Aku ni lelaki tau, yang tidak lalui ketiga-tiga zaman ini, pun boleh tercungap-cungap nak pergi ambil kerusi roda ni dari tingkat bawah nak bawa naik ke atas?

Ambil kerusi roda tau, benda beroda tu. Aku tak kena pikul pun kat bahu.

Pun boleh tercungap-cungap?

Kau rasa?

Beza tak tercungap-cungap tu, dengan tiga zaman tu?

 

Sumber: Al Irfan Jani