Syurga Anak Pada Ibunya, Syurga Isteri Pada Suaminya. Syurga Suami Ada Pada Siapa?

“Syurga anak, ada di tapak kaki saya, dan syurga saya ada pada abang. Syurga abang pula dekat mana?”

Tak pelik kalau ada suami bergaduh dengan isteri apabila ditanya dengan soalan seperti di atas. Isu yang pada awalnya bermula dengan sesi soal jawab boleh bertukar menjadi sesi bertikam lidah dan seterusnya adegan tampar-menampar.

Ini kerana kebanyakkan kita mudah tersinggung apabila isu dosa dan pahala dimainkan. Lebih-lebih lagi kalau ianya berkait rapat dengan soal tanggungjawab lelaki sebagai suami.

Jadi, untuk kesedaran bersama, apa kata anda baca perkongsian daripada Nurul Hallawati di bawah untuk mengetahui dengan lebih jelas di mana terletaknya syurga seorang suami.

Kredit foto: omr.bsra

 

Tulis Nurul Hallawati,

Persoalan ini muncul saat saya membawa emak berubat pada seorang ustaz di Taman Kosas, Ampang. Sambil berubat ustaz ini memberi tazkirah yang sangat-sangat memberkas di hati. Tak sedar bergenang air mata saat mendengar tazkirahnya.

Bermula dari kasih Adam dan Hawa di Syurga, sehingga dicampak mereka ke dunia kerana hasutan iblis. Kemudian sampai pada bahagian suami isteri, kata ustaz. Syurga anak itu pada ibunya, Syurga ibu itu pada suaminya. Lalu Syurga suami itu dimana pula?

“Pada ibunya.” saya menjawab.

Ustaz menggeleng sambil tersenyum.

“Syurga seorang suami itu pada tanggungjawabnya.” kata ustaz.

Saya terkesima mendengar jawapan tersebut.

“Suami itu syuganya pada tanggungjawab yang ada di bahunya. Sediakan nafkah zahir dan batin. Sediakan rumah walaupun hanya rumah sewa, sediakan pakaian walaupun yang murah-murah, sediakan makan untuk anak isteri walau tak mewah. Asalkan sedia semua itu untuk isteri dan anak-anak.” sambung ustaz lagi.

Jika Isteri yang menyediakan rumah, yang membayar hutang rumah, haram suami itu tinggal di dalamnya.

Jika isteri yang membayar bil eletrik rumah, haram cahaya itu untuk suaminya.

Jika isteri yang menanggung biayai makan dan keperluan asas di rumah, haram suami itu memakannya.

Kecuali, si isteri Redha dan berniat untuk membantu suaminya, membantu syurganya itu.

Andai dia tak redha, berdosa besar Sang Suami itu.

Kata ustaz lagi, di Makhamah Syariah bersusun kes penceraian yang kebanyakannya berpunca dari kurangnya tanggungjawab seorang suami.

Semuanya isteri yang bayar, semuanya isteri yang uruskan. Maka suami itu hilang kewibawaannya, tidak berperanan sebagai ketua keluarga yang selayaknya.

Maka kepada semua lelaki, sebelum memasang angan untuk menikah, atau pun kini sudah menikah, ingatlah tanggungjawab yang bakal kalian pikul atas pundak kalian. Dan dengan tanggungjawab itu kalian akan diperhitung dan dipersoal didepan Allah kelak.

Ada sesetengah lelaki yang saya pernah dengar dan jumpa, yang mencari calon-calon isteri dari wanita berpangkat besar, kerja dan gaji besar, atas alasan untuk menumpang kemewahannya, atas alasan nak cari jalan pintas untuk hidup senang. Sedih dengar.

Buat wanita-wanita, cari jodoh bukan pada harta seorang lelaki, tapi pada nilai tanggungjawabnya. Meski tak mewah, dia akan tetap berusaha memberikan semua tanggungjawabnya padamu, dia berusaha mencukupkan semua keperluan keluarganya dengan tulang 4 kerat dan tenaganya.

Itulah suami dan lelaki terbaik sebagai sandaran untuk syurgamu.

 

Pen Hitam

Moga kita semua dapat manfaat daripada perkongsian di atas. Lebih-lebih lagi individu yang bakal atau sudah bergelar suami. – PHDC

Jom Komen