Syed Saddiq Tak Setuju Dengan Tindakan Untuk Tidak Memberi Peruntukan Kepada Pembangkang

TINDAKAN Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Osman Sapian untuk tidak memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang tidak dipersetujui oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya dengan rendah hati tidak bersetuju. Saya berkongsi pandangan itu dengan parti. Kami akan merangka dasar mengenai perkara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, bagi memastikan demokrasi di Malaysia terus berkembang maju, kerajaan negeri memerlukan pembangkang yang kuat dan boleh dipercayai bagi memastikan mereka sentiasa menjadi pihak yang bertanggungjawab.

“Berikan peruntukan kepada mereka bukan kerana mereka adalah pembangkang tetapi kerana mereka akan menjadi ‘check and balance’,” katanya.

Pada Sabtu, Osman berkata tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberikan kepada pembangkang di negeri itu kerana ia adalah hak kerajaan yang memerintah.

Tambahnya, semasa BN memerintah, pembangkang tidak diberikan sebarang peruntukan.

“Jadi, sekarang mereka tidak dapatlah. Kenapa perlu saya beri mereka, ia seolah-olah memberikan mereka peluru untuk ‘tembak’ kita semula,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Osman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di Istana Bukit Serene, Johor pada petang Sabtu.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di Balai Mengadap Istana dihadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Osman, 67, menjadi Menteri Besar yang ke-16 menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Osman menang majoriti 9,178 undi mengalahkan dua calon lain, Datuk Ramli Bohani (Barisan Nasional) dan Dzulkifli Suleiman (PAS).

 

Sumber: mStar Online

Jom Komen