Step By Step: Nasi Tomato Simple Tapi Sedap Macam Kenduri

Hari-hari makan nasi biasa pun muak juga kan? Sesekali teringin juga tekak ni nak makan nasi tomato. Tapi bukan senang nak cari orang jual nasi tomato pada hari-hari biasa. Tambah-tambah lagi yang sedap dan kena dengan tekak sendiri.

Jadi, apa kata kita cuba buat sendiri nasi tomato di rumah. Sebenarnya tak susah mana pun. Resepi yang dikongsikan oleh Puan Reen ini cukup simple. Katanya dia turut sama ajarkan resepi ini pada anaknya yang request nak makan nasi tomato sebelum ke asrama. Alhamdulillah memang mudah.

Jom kita tengok resepinya dengan lengkap di bawah.

Resepi Nasi Tomato Mudah & Sedap Macam Kenduri

Mula-mula kita tengok cara nak masak nasinya dulu.

Resepi ini saya belajar dari Puan Mariana Zainal dan saya olah semula.

Berikut adalah bahan-bahan yang perlu disediakan.

A. Resepi Nasi Tomato

Bahan-bahan

  • 5 cawan beras biasa / beras Basmathi
  • 5 cawan air
  • 4- 5 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 10 kuntum bunga cengkih
  • 4-5 biji buah pelaga
  • 1/ 4 cawan minyak zaitun (kalau tak ada boleh ganti dengan minyak masak)
  • 2 sudu besar menggunung minyak sapi (kalau tak ada boleh guna mentega)
  • 1/2 cawan susu cair
  • 1 sudu besar gula
  • 1/ 2 sudu besar garam
  • 3-4 helai daun pandan di simpul
  • 3 sudu besar tomato puri
  • 4 biji tomato (kisar dengan sedikit air)
  • Kismis untuk hiasan (saya tak letak)
  • 2 biji bawang besar*
  • 8 ulas bawang putih*
  • 2 ketul halia sebesar ibu jari*

Bahan bertanda * dikisar atau dihiris halus

Cara-cara

  • Rendam Beras

Mula-mula rendamkan beras supaya beras masak elok bila dah dicampur dengan bahan-bahan lain.

Saya guna beras biasa saja, rendam selama 15-20 minit. Kalau guna beras basmathi, rendam lama sikit dalam 30 minit. Kemudian, basuh dan toskan.

  • Tumis Bahan

Cairkan minyak sapi dan minyak masak / minyak zaitun dalam sebuah periuk di atas api yang sederhana. Tumiskan rempah-rempah kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang.

Seterusnya masukkan bahan yang di hiris dan kacau hingga berbau wangi.

  • Masukkan Beras

Kecilkan api dan masukkan beras. Kacau rata-rata selama 1 hingga 2 minit.

Seterusnya masukkan air, susu cair, tomato puri, simpulan daun pandan, gula dan garam secukup rasa.

  • Pindahkan Ke Rice Cooker / Masak Seperti Biasa

Akhir sekali pindahkan semua bahan dalam periuk ke rice cooker dan masak seperti biasa.

Nak masak terus guna periuk atas api pun boleh. Sementara tu kita buat pula lauknya.

Kalau buat nasi tomato, pasangannya dah tentulah ayam masak merah kan. Memang favourite lauk ni, makan dengan nasi putih biasa pun sedap.

Jom kita tengok pula resepi ayam masak merah ala kenduri di bawah ini.

B. Resepi Ayam Masak Merah

Resepi ayam masak merah pun mudah sangat. Resepi asal oleh Puan Salimah Olie.

Ini senarai bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam – potong kecil, basuh bersih
  • 3 biji bawang besar (saiz besar tau)*
  • 4-5 ulas bawang putih*
  • 1 1/2 inci halia*
  • 3-4 senduk cili kisar
  • 5 sudu besar sos cili
  • 2 biji tomato
  • 2 batang serai – diketuk
  • 1 kulit kayu manis
  • 3 bunga lawang
  • 5 buah pelaga
  • Garam dan gula secukupnya

Kisar semua bahan bertanda *

Cara-cara

  • Goreng Ayam

Macam biasa, mula-mula gaulkan ayam dengan garam, kunyit. Panaskan kuali, bubuh minyak dan goreng.

Tak payah garing sangat ye sebab lepas ni kita nak bubuh dalam lauk.

  • Tumis Rempah & Bahan Kisar

Kemudian tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sampai naik bau.

Masukkan serai, kacau sekejap. Lepas tu masukkan bahan kisar yang bertanda *. Tumis sampai garing.

  • Masukkan Cili Kisar

Seterusnya masukkan cili kisar dan tumis lagi sampai garing.

  • Perasakan

Akhir sekali perasakan dengan gula, sos cili dan tomato. Biar sekejap dan kacau sesekali.

Perisakan dengan garam pulak. Lepastu bolehlah masukkan ayam yang dah digoreng awl-awal tadi. Terjunkan semua dan gaul sebati.
Siap!

Last sekali, sediakan pula acar timun untuk menyedapkan lagi hidangan nasi tomato ni. Makan pun krup krap krup krap, lagi layan.

C. Acar Timun

Bahan-bahan

  • Lobak merah
  • bawang merah
  • Timun
  • Cili
  • Gula & Cuka Secukupnya

Cara-cara

  • Hiris

Basuhkan semua bahan bersih-bersih dan hiris semua bagi memanjang. Ada yang suka nipis ke tebal, ikut citarasa sendiri. Nak bentuk dadu pun boleh bagi senang masuk mulut. Terpulanglah ya.

  • Perasakan

Kemudian perasakan dengan gula dan sedikit cuka dan air ikut tekak masing-masing. Siap!

Buat Sendiri Memang Puas Hati

Bila dah siap, bolehlah hidangkan terus untuk dimakan panas-panas. Nak taburkan bawang goreng atau hiaskan dengan daun sup ke, bagi cantik dan lebih menyelerakan.

Serius puas hati dan jimat kalau buat sendiri nasi tomato di rumah. Satu keluarga boleh makan ulang-ulang dari siang sampai malam. Sedap!

Jadi apa lagi, cubalah resepi nasi tomato ini di rumah nanti ya.

Sumber: Sirap Limau, Puan Reen

Jom Komen