Sejarah ICERD : Bagaimana Konvensyen Ini Bermula?

‘International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination’ atau ‘Konvensyen antarabangsa berkenaan penghapusan diskriminasi kaum’ merupakan salah satu cabang konvensyen yang paling banyak mendapat sokongan negara-negara di dunia ketika ini.

Didrafkan kali pertama pada tahun 1965, triti yang terhasil daripada konvensyen itu dipercayai triti paling lengkap dalam mengawal selia semua idea kesamarataan dalam isu kaum di seluruh dunia. Isu ICERD sebenarnya sudah lama menjadi kontroversi di negara kita, khasnya melalui semakan semula Universal Periodic Review yang dilakukan selang beberapa tahun sekali.

Bagaimanapun, isu ICERD menjadi hangat kebelakangan ini berikutan wujud gerakan dalam pihak kerajaan Malaysia yang dilihat bersungguh mahu meratifikasinya, agar dapat dilaksanakan dalam negara kita. Pernahkah anda terfikir, bagaimana konvensyen ini bermula?

Holocaust dan Pogrom

Ketika era di antara tahun 1959 hingga 1960, wujud kembali stigma anti-semitik yang berlaku di kalangan ramai ahli masyarakat dunia.

Anti-semitik atau ‘anti-semitism’ merupakan satu bentuk prejudis yang diwujudkan bagi menimbulkan kebencian di kalangan masyarakat dunia terhadap orang-orang Yahudi, dengan gerakan Holocaust yang dilakukan oleh orang Nazi dipercayai sebagai satu contoh tindakan anti-semitik paling besar pernah berlaku.

Istilah ‘anti-semitik’ digunakan kali pertama pada tahun 1879 oleh seorang jurnalis Jerman bernama Wilhelm Marr, bagi melambangkan kebencian yang dihadapi oleh orang Yahudi. Kaedah ‘anti-semitik’ yang digunakan pula, boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Selain agenda Holocaust, gerakan ‘pogrom’ juga merupakan salah satu kaedah paling popular digunakan kumpulan anti-semitik. Dimulakan di beberapa tempat di Russia, ‘pogrom’ adalah satu bentuk serangan mengejut bersifat ganas dilakukan oleh orang bukan Yahudi terhadap orang Yahudi yang ditemui mereka.

‘Pogrom’ tidak sekadar membelasah dan membunuh orang Yahudi. Ada kalanya masyarakat setempat bekerjasama dengan kerajaan dan polis untuk melindungi kegiatan ganas ‘pogrom’ yang lain, seperti merogol dan merompak. Sekitar tahun 1918 sehingga 1920, gerakan Pogrom terbesar dimulakan selepas berlakunya Revolusi Bolshevik.

Aktiviti ‘pogrom’ terus berlaku melibatkan kumpulan nasionalis Ukraine, Poland dan tentera di sekitar Belorussia (Belarus ketika ini) serta Galicia yang terletak di Poland. Gerakan masyarakat disokong oleh tentera ini membunuh puluhan ribu orang Yahudi dalam tempoh dua tahun.

Aktiviti pogrom semasa perang dunia kedua

 

Gerakan pogrom tidak berhenti setakat itu. Pada tarikh 29 Jun tahun 1941, Jerman di bawah pemerintahan Nazi dan sekutunya, telah melakukan gerakan pogrom besar-besaran; membunuh lebih kurang 8,000 orang Yahudi di Iasi, Moldavia yang terletak dalam Romania.

Satu lagi peristiwa pogrom yang heboh diperkatakan adalah insiden pada 10 Julai 1941, apabila penduduk sebuah pekan bernama Jedwabne di Poland, bertindak menyertai pogrom beramai-ramai membunuh jiran-jiran mereka yang berbangsa Yahudi.

Bermula daripada gerakan pogrom ini, gerakan Holocaust yang dilakukan secara sistematik bagi menghapuskan orang-orang Yahudi mula dijalankan tentera Jerman.

Ekoran tamatnya perang dunia kedua, gerakan pogrom tetap terus berlaku dalam skala kecil-kecilan di beberapa buah negara, bagi menghapuskan saki-baki orang Yahudi. Di Kelce, Poland – penduduk setempat melancarkan pogrom bermula 4 Julai 1946 mengakibatkan puluhan orang Yahudi yang terselamat dibunuh atau cedera parah.

Kejadian di Kelce itulah menjadi titik permulaan pergerakan beramai-ramai saki-baki orang Yahudi melarikan diri ke arah barat, dalam acara migrasi yang digelarkan sebagai Brihah. Brihah mengumpulkan Yahudi dari Poland dan beberapa buah negara Eropah timur, ke khemah-khemah pelarian yang terletak di Jerman, Austria dan Itali.

Sentimen anti semitik diteruskan

Walaupun sudah berjaya dihapuskan dan dihalau keluar, saki-baki orang-orang Yahudi tetap berdepan stigma anti semitik yang tidak pernah padam. Insiden anti semitik mula timbul semula pada tahun 1959 ekoran epidemik Swastika, menyebabkan wujud gesaan pada pihak PBB dalam menyelia dan mengawal diskriminasi terhadap orang Yahudi.

Takut insiden pogrom kembali bermula secara besar-besaran, dalam perbincangan yang diadakan pada peringkat jawatankuasa rendah PBB – diisytiharkan bahawa semua insiden dan sentimen anti-semitik yang berlaku ketika itu, dianggap melanggar perjanjian antarabangsa hak asasi manusia. Langkah pencegahan jangka panjang dianggap sangat perlu diperkenalkan.

Setelah PBB meluluskan resolusi kecil itu, kesemua negara anggota yang melibatkan diri berbincang untuk merangka satu resolusi yang dapat mengawal serta menghapuskan terus masalah diskriminasi melibatkan sentimen kaum. Resolusi awal itu yang dinamakan sebagai ‘resolusi manifestasi prejudis di antara kaum, negara dan agama’ menjadi batu asas kepada konvensyen yang bakal dinamakan semula sebagai ICERD.

Dalam persidangan ketiga untuk membincangkan isu tersebut, PBB mengambil keputusan mahu memecahkan konvensyen itu kepada dua konvensyen berasingan – satu bahagian khas untuk menangani masalah berkaitan agama dan satu lagi bahagian berkaitan prejudis terhadap kaum atau bangsa.

Berikutan gerakan anti semitik yang semakin kuat, wujud desakan untuk PBB mempercepatkan lagi kelulusan resolusi berkaitan kaum terlebih dahulu, jadi PBB bersetuju untuk melaksanakan kelulusan resolusi tersebut lebih awal.

Permulaan pelaksanaan CERD

Pada tahun 1964, draf awal resolusi itu selamat disiapkan mencerminkan standard yang diramalkan mampu mengawal masalah diskriminasi kaum serta membantu PBB mengatasi masalah stigma terhadap orang kulit hitam dan warna kulit lain, selain kulit putih.

Setahun berikutnya pada 21 Disember 1965 – CERD diluluskan dan mula diterima pakai oleh PBB. Versi itu dipercayai bakal menjadi petunjuk kepada masyarakat dunia moden untuk mengubah bagaimana penerimaan kita semua dalam perihal melibatkan warna kulit dan kaum. CERD diumumkan sebagai mekanisme PBB dalam mempromosikan serta merapatkan jurang antara kaum, di antara semua negara anggota yang menandatanganinya.

Sokongan pada CERD mula disuarakan, dengan 22 negara anggota PBB menjadi antara negara terawal menandatangani sepenuhnya konvensyen CERD. Semua negara yang bersetuju diletakkan syarat untuk tidak melanggar sebarang bentuk persetujuan yang telah termaktub dalam konvensyen tersebut.

Setakat ini, hanya negara kita, Brunei Darussalam, Myanmar, Korea Utara dan beberapa negara lain yang berjumlah 14 buah negara kesemuanya masih belum melakukan sebarang bentuk persetujuan untuk CERD.

Berapa lama lagi sebelum kita menyertai 179 buah negara lain di dunia?

Sumber & Kredit: Iluminasi

Jom Komen