“Saya Tak Pernah Larang Farid Jumpa Anak” – Ibu Diana Danielle

Norsiah Ramli, Ibu kepada Datin Diana Danielle, mengesahkan anaknya masih tinggal sebumbung dengan suami, Datuk Farid Kamil sehingga kejadian menimpa semalam.

Norsiah berkata, dia pelik dengan kenyataan yang dibuat oleh adik Farid, Fadzil Zahari, yang mengatakan abangnya tertekan kerana tidak dibenarkan berjumpa anak-anak, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, lapor Harian Metro.

“Diana dan Farid masih tinggal sebumbung dan hubungan mereka baik saja. Rumah mereka hanya satu tingkat di atas rumah saya.

“Jika Diana pergi kerja, anak-anak ditinggalkan dengan saya. Malah saya turun naik lif untuk mengambil barang mereka,” katanya.

Norsiah turut mengakui, bahawa pada minggu lalu Diana dan cucunya tidur di rumahnya kerana dia balik lewat malam dari latihan projek filem.

“Cuma Farid tidak ada menghubungi atau melawat. Saya tidak pernah terfikir untuk melarang atau menghalang Farid dari bertemu anak-anaknya sejak dulu.

“Jika nak jumpa atau rindu, anak-anak ada di rumah saya dan dia boleh datang bila-bila masa. Itu yang saya terkejut apabila dia dikatakan rindu anak-anak sehingga mengalami tekanan.

“Saya juga bekerja dari rumah dan memang banyak masa di rumah,” katanya.

Norsiah juga berkata, pembantu rumah memaklumkan Farid nampak gembira apabila bertemu dengan Aurora yang sangat rapat dengannya.

“Anak-anak juga sempat bermain dan tidur di rumahnya minggu lalu. Hubungan Farid sangat rapat dengan anak-anak sejak dulu.

“Cuma apabila Diana keluar bekerja, baru anak-anak tinggal di rumah saya,” katanya.

Ditanya mengenai penahanan reman menantu, Norsiah menyerahkan kepada pihak berkuasa dan enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa buat siasatan dan saya tak nak masuk campur,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro