Risiko Hamil Umur 35 Tahun Ke Atas, Tapi Ada Juga Baiknya

Trend berkahwin lewat bukanlah sesuatu yang baru dan tidak dianggap pelik bagi sesetengah wanita di negara ini. Selain faktor jodoh, keadaan ini dipercayai berlaku disebabkan faktor ekonomi, yang mendesak mereka untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.

Bagi wanita yang berkahwin lewat, sudah pasti fasa kehamilan yang mereka akan lalui juga lewat. Kebiasaannya, inilah yang menakutkan mereka kerana seringkali dimomokkan dengan risiko yang terpaksa dihadapi jika hamil pada lewat usia.

Tapi, sejujurnya, risiko bagaimana yang bakal dihadapi oleh wanita-wanita ini?

Menurut kajian dan fakta terkini yang didedahkan oleh Medical News Today, berikut adalah antara perkara yang bakal dihadapi oleh mereka.

 

5 Risiko Hamil Selepas Usia 35 Tahun

1. Masalah Kesuburan

 

Tahap kesuburan lelaki dan wanita sering dikaitkan dengan faktor usia. Semakin berumur seseorang itu, semakin merudum tahap kesuburan mereka.

Menurut kajian yang dilaporkan oleh The New England Journal of Medicine, 74% wanita yang menerima rawatan kesuburan pada 30 tahun dan ke bawah boleh mengandung dalam masa 1 tahun.

Jumlah ini bagaimanapun menurun kepada 61% pada usia 31-34 tahun dan 54% apabila usia mencecah 35 tahun dan ke atas.

Kredit Foto: The Jakarta Post

 

2. Masalah Kesihatan Bayi

Kualiti telur dan sperma yang dihasilkan oleh pasangan juga akan merosot disebabkan faktor usia. Perkara ini akan menyumbang kepada risiko keguguran bayi.

Kajian mendapati keguguran bayi meningkat selari dengan usia kehamilan, di mana bayi juga berisiko mengalami kurang berat badan, kelahiran pramatang, dan meninggal dunia dalam kandungan.

Kredit Foto: Baby Center

 

3. Komplikasi Bersalin

Wanita yang mengandung selepas usia 35 tahun mungkin lebih sukar untuk melahirkan bayi secara normal dan memerlukan bantuan proses tertentu seperti vakum, forsep, atau pembedahan Caesarean.

Menurut penyelidikan di King’s College London, kajian mendapati wanita yang berusia 35 tahun ke atas kurang sensitif terhadap oksitoksin dan secara tidak langsung menyebabkan otot rahim tidak dapat berkontraksi dengan efektif.

Selain daripada itu, perubahan pada hormon progesteron turut menyebabkan proses bersalin menjadi lambat lalu menyumbang kepada punca komplikasi.

Kredit Foto: Viral Nova

 

4. Masalah Kesihatan Ibu

Masalah kesihatan yang di alami oleh si ibu seperti darah tinggi, diabetes, kolesterol, meningkat selari dengan peningkatan usia.

Oleh itu, wanita dinasihatkan agar tidak melewat-lewatkan kehamilan tanpa sebab. Ini kerana, masalah kesihatan ini mampu menjejaskan kesihatan kandungan dan memburukkan lagi kesihatan ibu.

Kredit Foto: Easy Living

 

5. Bayi Sindrom Down

Data menunjukkan kebarangkalian risiko penyakit genetik seperti sindrom down meningkat apabila kehamilan berlaku pada lewat usia.

  • 1 dalam 1064 pada usia 25 tahun
  • 1 dalam 686 pada usia 30 tahun
  • 1 dalam 240 pada usia 35 tahun
  • 1 dalam 53 pada usia 40 tahun
  • 1 dalam 19 pada usia 45 tahun

Antara faktornya ialah apabila ibu semakin berusia, proses rekombinasi yang kurang terkawal hingga menyebabkan kecelaruan pada susunan kromosom dan bilangan sel yang abnormal.

Kredit Foto: Noah’s Dad

 

Kelebihan Mengandung Lewat Usia

Walaubagaimanapun, ibu-ibu tidak perlu risau kerana perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan teknologi masa kini mampu untuk membantu ibu-ibu mendapat rawatan awal daripada doktor.

Antara kesan positif daripada perkahwinan dan kehamilan lewat ialah:

 

1. Meningkatkan Kecerdasan Ibu

Kajian terkini mendapati hormon kehamilan mempunyai manfaat jangka masa panjang bagi otak wanita. Secara spesifiknya, estrogen meningkatkan fungsi dan struktur otak, manakala progesteron mendorong perkembangan tisu otak serta perkembangannya.

 

2. Ibu Bersikap Lebih Matang

Pada lingkungan usia sebegini, wanita kebiasaannya bersikap lebih matang dan bersedia untuk menjadi ibu. Mereka lebih peka dengan kesihatan keluarga dan diri sendiri, serta mampu menguruskan stres dengan lebih baik.

 

3. Ekonomi Lebih Kukuh

Dari segi ekonomi, hala tuju sesuatu hubungan itu lebih terjamin apabila wanita mempunyai kerjaya tersendiri bagi mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh suami.

 

Pen Hitam

Apapun, jodoh dan rezeki di tangan Tuhan. Kita sekadar merancang, Dialah yang menentukan. Rezeki tetap rezeki, walau selewat mana pun kita dikurniakan zuriat. Yang penting, pastikan kita mendapat pemantauan doktor untuk mengelakkan sebarang masalah ketika bersalin nanti.

 

Sumber: Sirap Limau