Rindukan Anak Mungkin Punca Farid Ambil Ganja, Kata Adik Farid Kamil

Keluarga Datuk Farid Kamil tidak menolak kemungkinan Pengarah dan Pelakon terkenal terbabit mengambil ganja kerana tekanan perasaan lantaran sudah lama tidak bertemu dua anaknya, lapor Harian Metro.

Fadzil Bahari Zahari, 34, adik kepada Farid Kamil, berkata, abangnya sebelum ini tidak pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Namun, katanya, dia tidak menolak kemungkinan abangnya itu mengambil ganja bagi menenangkan fikiran akibat tekanan perasaan yang sedang dihadapinya.

Menurutnya, dia ada berjumpa dengan abangnya tiga sehari sebelum kejadian dan Farid memberitahu yang dia terlalu merindui dua anaknya iaitu Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

“Ketika bertemu dia (Farid Kamil) beritahu saya bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun saya tidak sangka dia bertindak sedemikian.

“Dia mungkin mengalami tekanan perasaan dan masalah mental. Kami sekeluarga akan memberi sokongan mental terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar,” katanya.

Fadzil yang ditemani adiknya, Anis Anwar, hadir ke Komplek Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi mengikuti perkembangan penahanan Farid Kamil.

Bagaimanapun, kelibat isteri Farid Kamil iaitu Datin Diana Danielle tidak kelihatan di mahkamah.

Pada jam 1.20 tengah hari semalam, Farid Kamil datang ke balai polis Kota Damansara untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Namun, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka anggota polis yang bertugas dan orang awam di balai polis terbabit.

Susulan daripada itu, Farid Kamil ditangkap serta merta di lokasi dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif ganja.

Kini pelakon terbabik direman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

 

Sumber: Harian Metro