Ridzuan Hashim Dakwa Ditampar Farid Kamil Sehari Sebelum Kejadian

Pelakon Ridzuan Hashim, 53, mendakwa dia ditampar oleh Datuk Farid Kamil sehari sebelum dia ditahan kerana menampar anggota polis bertugas dan orang awam di Balai Polis Kota Damansara.

Menurut laporan Harian Metro, Ridzuan tidak tahu mengapa Farid menamparnya ketika di lokasi penggambaran drama Uniknya Cinta, Rabu lalu.

“Kejadian berlaku jam 1.30 pagi pada 10 Januari lalu di studio milik Soffi Jikan ketika berlangsung penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

“Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai jadi merah. Apabila saya jerit ‘Oi kenapa kau tampar aku’ dia terus berlari keluar meninggalkan premis yang menjadi lokasi penggambaran,” katanya.

Ridzuan berkata, sebelum kejadian dia baru keluar dari tandas dan memakai stokin di bilik wardrobe.

“Tiba-tiba Farid masuk dan bertanya ada baju tak. Saya beritahu itu semua baju pelakon dan saya terus tunduk memakai stokin.

“Entah kenapa dia terus menampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa dia terus lari keluar daripada premis itu dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya.

“Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat laporan polis kerana kami sama-sama kawan. Saya maafkan dia dan tidak berdendam dengannya. Lagipun dia ada anak isteri, saya tak mahu mereka tertekan.

“Kalau saya buat laporan polis, perkara itu akan jadi besar dan berpanjangan,” katanya.

Ridzuan mengaku terkejut dengan berita Farid ditahan direman, namun berharap masyarakat tidak menjatuhkan hukum kepada Farid.

Katanya, Farid masih muda dan dia sayangkan masa depan pelakon dan pengarah itu.

“Itu antara sebab mengapa saya tidak buat laporan polis kerana tidak mahu kejadian itu dispekulasikan. Nanti orang ingat saya yang cari pasal.

“Saya juga bukan jenis yang suka mengadu dengan wartawan. Selepas kejadian itu, saya malas nak fikir lagi dan terus masuk ke set penggambaran sehinggalah semua babak saya selesai jam 4.30 pagi,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro