Rezeki Suami Ada Kaitan Dengan Isteri?

Perkahwinan merupakan sunnah Nabi SAW. Selain daripada mendapat pahala dengan menyempurnakan sunnah, perkahwinan turut membuka jalan untuk meraih rezeki.

Rezeki isteri diperolehi melalui kerja keras suami dalam mencari nafkah, namun, itu tidak bermakna isteri tidak boleh membantu menjemput rezeki untuk suami.

Bagaimana isteri boleh membantu menjemput lebih banyak rezeki untuk suami? Baca perkongsian daripada Mutawwif Anass di bawah.

Foto Kredit: Tiqasya

Tulis Mutawwif Anass,

3 SIFAT ISTERI MENJEMPUT REZEKI SUAMI

Ramai suami yang mungkin tidak tahu bahawa isteri yang dikahwininya merupakan perantara yang menjemput rezeki suami.

Berhati-hatilah dalam memilih isteri dengan memerhatikan ‘3 Sifat Wanita Yang Menjemput Rezeki Suami’ sebelum anda mendirikan rumahtangga.

Yang telah berumahtangga, berusahalah bersungguh-sungguh mengubah isteri anda supaya memenuhi ‘3 Sifat Wanita Yang Menjemput Rezeki Suami’ ini.

Sememangnya formula menarik rezeki ini tidak mampu dilihat dengan mata kasar, tetapi ianya dapat dibuktikan secara spiritual yang isteri dapat jadi pemangkin magnet rezeki bagi suami.

 

1. Isteri yang pandai bersyukur

Wanita yang bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah secara kerohaniannya sedang menarik rezeki dan mengundang lebih banyak nikmat kepada suaminya.

Mempunyai suami ia bersyukur, menjadi ibu kepada anak-anak ia bersyukur, anak-anak dapat ke sekolah ia bersyukur, suami menghulurkan nafkah dia bersyukur, suami memberikan hadiah dia bersyukur, suami memenuhi keperluan suami isteri dia pun bersyukur.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengatakan: jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya adzabku sangat pedih” (QS. Ibrahim: 7)

 

2. Wanita Yang Tawakal Kepada Allah

Pada waktu seseorang hamba bertawakal kepada-Nya, Allah mencukupkan rezekinya.

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”(QS. Ath Thalaq: 3)

Jika seorang wanita bertawakal kepada Allah sedangkan dia hanya duduk di rumah melayani anak-anak dari manakah sumber rezekinya? Allah mencukupkan rezekinya melalui sumber yang tidak disangka-sangka melalui suaminya dengan memudahkan rezeki itu.

 

3. Wanita Yang Baik Agamanya

Rasulullah SAW telah menyebutkan kahwinilah wanita atas empat perkara. Kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya.

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Sangat beruntung seseorang lelaki mengahwini wanita yang baik agamanya selain dari mendapat keredhaan Allah, wanita yang taat agama juga dapat mengundang rezeki buat suami.

 

Cuba kita renung-renungkan, jarang sekali kita melihat keluarga yang keseluruhan ahlinya taat pada agama hidup menderita dan mati kelaparan. Setiap hari ada sahaja sumber rezeki yang dibuka oleh Allah untuk mereka.

Jika demikian bagaimana pula dengan seorang suami yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah yang kelihatannya murah rezeki sepanjang kehidupannya?

Mungkin saja rezeki yang diperolehinya hasil keberkatan isterinya yang bertaqwa kepada Allah. Allah memudahkan rezeki si isteri melalui tangan suaminya.

 

Sumber: FB Mutawwif Anass

Jom Komen