Resipi Khas Untuk Isteri Tersayang. Kek Oren Sukatan Cawan, Boleh Dikukus Atau Dibakar.

Advertisement
Advertisement

Resipi kek oren kali yang akan kami berikan dalam artikel resipi ini boleh dimasak dengan dua cara sama ada kukus dan juga bakar. Jadi anda boleh pilih mengikut selera.

Perisa utamanya adalah daripada pati minuman Sunquick dan juga parutan kulit limau Sunkis. Untuk hasilkan resipi kek oren kukus yang tidak pahit, jangan parut kulit limau sehingga ke lapisan putih. Cukup sekadar lapisan luar sahaja.

Kami berikan beberapa tips untuk anda hasikan kek oren moist yang menepati selera:

  1. Untuk elakkan kek berbau hanyir selain daripada penggunaan esen vanilla, semasa proses pecahkan telur,  jangan lupa buang tali pusat telur. Ini yang sebabkan bau hanyir.
  2. Cara penyimpanan kek oren supaya tahan lama kerana ianya tidak menggunakan pengawet, jadi anda boleh masukkan ke dalam bekas tertutup dan simpan dalam peti ais.
  3. Cara untuk pastikan kek oren yang dikukus atau dibakar telah masak, cucuk lidi atau buluh dan keluarkan, jika ianya tidak melekat pada buluh, itu tanda kek anda sudah pun masak.

 

Bahan Resipi Kek Oren Moist:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • sudu teh soda bikarbonat

* Satukan ketiga-tiga bahan di atas, gaul sekejap dan ayak 2-3 kali untuk dapatkan tekstur kek oren yang halus.

  • 4 biji telur gred A atau 5 biji telur gred B
  • 2 sudu makan lapisan luar parutan kulit buah sunkist
  • 1/2 cawan Sunquick Oren
  • 2/3 cawan gula
  • 2/3 cawan susu pekat manis
  • 1 cawan minyak sayuran
  • 1 cawan air panas
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • Sedikit pewarna kuning lemon @ kuning telur, boleh juga guna kaler oren.

NOTA: Bagi anda yang suka kek oren kurang manis, boleh kurangkan sesudu dua gula dan susu. Untuk dapatkan sukatan yang tepat guna cawan, kami galakkan anda guna cawan metrik yang ukuran standard.

 

Cara Buat Resipi Kek Oren Sukatan Cawan:

#1. Dalam bekas, pecahkan telur. Buangkan tali pusat telur seperti gambar di atas untuk elakkan hanyir. Jika ianya dibuang semua, anda dah tak perlu tambahkan esen.

Masukkan gula dan pukul telur dan gula hingga hancur sebati, barulah masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis sambil dipukul sebati. Anda boleh guna mixer mesin atau tangan.

NOTA: Jika adunan pekat atau berat untuk dipukul boleh selang selikan tepung dengan minyak yer. Buat hingga habis minyak & tepung.

 

#2. Tambahkan susu, pukul sekejap dan masukkan air panas, pukul lagi hingga adunan kelihatan licin tidak berketul. Terus campurkan sunquick, pukul lagi hingga sebati dan adunan kelihatan mula kembang pada proses ini.

 

#3. Akhir sekali letakkan parutan kulit sunkist dan juga pewarna. Pukul sekejap hingga warna sekata dan adunan kek oren boleh dimasak dengan dua cara:

NOTA: Sukatan satu adunan di atas adalah untuk sebiji kek bersaiz 8 inci x 8 inci atau 3 biji kek kecil bersaiz 4 1/2 inci x 6 1/2 inci seperti dalam gambar.

 

UNTUK DIKUKUS:

Guna tupperware plastik tahan panas seperti dalam gambar, tuangkan adunan dan kukus dengan api besar lebih kurang 25 – 35 minit atau sehingga masak (2 biji sekali kukus).

 

UNTUK DIBAKAR:

Alaskan dasar loyang dengan kertas minyak atau baking paper, sapukan sedikit marjerin pada dinding loyang, tuangkan adunan dan bakar api atas bawah pada suhu lebih kurang 160-170°c, dalam 45 minit atau sehingga masak.

NOTA: Tips untuk dapatkan resipi kek oren lebih moist, boleh alaskan tray kek degan tray berisi air dan bakar.

 

Siap untuk dimakan. Selamat mencuba bagi anda yang mengidam kek oren ni.

 

Bebanyak terima kasih kepada Puan Irma Sheky yang seikhlas hati memberi resipi kek oren sukatan cawan kepada kami semua. Untuk anda yang berada di Kelantan, boleh intai fb Puan Irma untuk tempahan kek dan kuih.

Advertisement
Jom Komen