Pernah Rasa Meremang Ketika Mendengar Lagu?

Advertisement
Advertisement

Pernah tak bila anda dengar sesuatu lagu tiba-tiba bulu roma anda meremang? Mungkin kerana vokal penyanyinya yang padu, atau mungkin juga kerana alunan muziknya yang menyentuh jiwa. Namun, apa punca sebenar yang membuatkan perkara ini terjadi?

Musical Chills Atau Musical Frisson

Fenomena ini dipanggil ‘musical chills’ ataupun ‘musical frisson’ iaitu keadaan di mana anda begitu terkesan dengan muzik tersebut dan terasa seperti aliran elektrik yang mengalir ke seluruh kulit badan sehingga bulu roma anda meremang.

Selain daripada itu, jantung anda juga boleh berdegup kencang ketika mengalami keadaan ini. Fenomena ini bukan sahaja boleh berlaku ketika anda mendengar muzik yang mengasyikkan malah boleh berlaku ketika anda melihat hasil seni yang menakjubkan ataupun melihat adegan filem yang hebat.

Sesetengah pengkaji menggelar keadaan ini sebagai ‘skin orgasm’. Namun, rakan anda berkemungkinan tidak akan dapat mengalami dan memahami keadaan ini kerana dia tergolong daripada 1/3 populasi dalam dunia yang tidak dapat merasai ‘chill’ ataupun ‘frisson’.

Faktor utama yang mempengaruhi individu dalam mengalami fenomena ini ialah personaliti setiap individu. Individu yang mempunyai personaliti ‘keterbukaan’ (openness) adalah lebih mudah untuk mendapat ‘chills’ berbanding dengan mereka yang mempunyai personaliti lain seperti ‘sifat berhati-hati’ (conscientiousness) ataupun ‘ekstraversi’ (extraversion).

Kredit Foto: glasgowconcerthalls.com

 

Bagaimana Ia Berlaku?

Keadaan ini terjadi bilamana muzik itu diproses oleh otak dan mengaktifkan bahagian otak yang terlibat dalam laluan mekanisma ganjaran atau ‘reward mechanism pathway’. Laluan ini yang terdiri daripada nukleus akumbens (NAC) dan juga kawasan ventral tegmental (VTA) bertanggungjawab dalam pengawalan dopamin.

Jumlah dopamin yang terhasil ketika mendengar muzik yang mengasyikkan ini sangat tinggi dan secara langsung menunjukkan muzik itu memberikan kesan yang menyeronokkan sama seperti ransangan biologi yang lain seperti seks, makanan dan duit.

Dopamin secara ringkas ialah salah satu neurotransmiter yang penting dan bertanggungjawab dalam mengawal keinginan dan juga ketagihan. Penghasilan dopamin akan meningkat ketika otak menjangkakan ganjaran ataupun ketika sedang mendapat ganjaran.

Dapat dilihat penghasilan dopamin meningkat di NAC ketika subjek mengalami ‘chills’ apabila mendengar muzik. Malah, penghasilan dopamin juga meningkat ketika subjek hanya menjangkakan tindak balas emosi yang paling dalam (klimaks) di sesetengah not muzik.

Hasil daripada itu, ia akan meningkatkan lagi rasa keinginan terhadap ganjaran itu, iaitu muzik yang mengasyikkan. Hal ini menyebabkan mereka akan ingin menikmati lagi fenomena ini sama seperti mereka yang ketagihan makanan ataupun dadah.

Jadi, mendengar muzik yang mengasyikkan itu dilihat oleh otak sebagai suatu ganjaran dan rangsangan yang menyeronokkkan. Oleh sebab itu, pemuzik dan komposer seringkali memanipulasikan fenomena ini dengan mengubah not-not muzik dengan sesuatu yang tak dijangka, melambatkan tempo atau merendahkan vokal sebelum memberikan impak yang seperti mana otak jangkakan.

Cuba sahaja anda cari di Youtube konsert-konsert ataupun persembahan secara live penyanyi yang mengubah tempo dan komposisi lagu asal untuk memberikan impak yang lagi sensasi dan menghasilkan ‘musical chills’.

 

Sumber: Majalah Sains

Advertisement
Jom Komen