Pas Kelantan Akui, Era Najib Lebih Baik Dari Mahathir

Kerajaan PAS Kelantan mengakui era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak jauh lebih baik berbanding zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam memberi kebaikan kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keadaan itu berikutan terdapat kerjasama baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini sehingga membawa banyak perubahan kepada Kelantan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, keadaan sebaliknya pula berlaku ketika pemerintahan Dr Mahathir kerana dilihat seperti terdapat ketegangan dengan kerajaan negeri sehingga mengetepikan segala kemajuan di Kelantan.

“Kelantan ‘dianaktirikan’ ketika zaman Dr Mahathir, namun pada era Najib, hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan bertambah baik kerana banyak pembangunan berlaku di Kelantan.

“Mungkin jika dulu dia (Dr Mahathir) mempunyai visinya sendiri, tetapi sekarang sudah (zaman) lain. Zamannya sudah berlalu.

“Sebab itu apabila Pakatan Harapan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri semula, ini menunjukkan dia undur ke belakang pula,” katanya selepas Majlis Perasmian Pelancaran Petak Kajian Pokok Eucalyptus Negeri Kelantan di Hutan Simpan Beris, Lojing, dekat sini, hari ini.

Pelancaran dilakukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim.

Ditanya pelbagai analisis meramalkan PAS dijangka gagal mempertahankan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan ahlinya mengamalkan budaya politik cerca, Mohd Amar berkata, ramalan itu salah kerana setakat ini kajian dan maklum balas diperoleh menunjukkan PAS mampu mempertahankan Kelantan.

“Ia hanya ramalan, namun kami yakin Kelantan akan dipertahankan PAS berdasarkan kajian mendalam dilakukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian