Panduan Lengkap Ketika Membuat Rayuan Kompaun Di Mahkamah Majistret Atas Kesalahan Jalan Raya

Ketika tangan mula menerima surat saman yang diserahkan oleh abang polis atau abang JPJ, maka saat itu jugalah otak mula serabut memikirkan duit yang bakal hangus kerana terpaksa bayar saman.

Kalau banyak duit tak apa jugalah. Kalau kena yang kais pagi makan pagi? Lebih-lebih lagi kalau kena masa tengah bulan. Perit beb. Jumlah yang nak dibayar bukannya sikit, hampir sama nilainya dengan belanja dapur atau sewa bilik.

Namun, jangan risau, dengan adanya sistem kehakiman, anda boleh buat rayuan di mahkamah atas kesalahan jalan raya yang anda lakukan. Jom kita tengok apa yang perlu dilakukan, perkongsian dari seorang peguam, saudara Fadil Mohd Yusof.

Kredit Foto: ismaweb.net

APABILA ada sekatan lalu lintas dan kita melakukan kesalahan jalan raya seperti cukai jalan tamat tempoh, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan membuat pusingan U di kawasan yang dilarang, kita akan disaman oleh Polis Trafik ataupun pegawai JPJ.

Selepas kita menandatangani saman tersebut, kita dikehendaki hadir ke Mahkamah Majistret untuk dijatuhkan hukuman untuk kesalahan yang dilakukan.

Antara tip yang boleh saya berikan untuk anda membuat rayuan terhadap hukuman kesalahan adalah seperti berikut:

 

1. Datang Awal Ke Mahkamah

Pastikan anda hadir sekitar jam 8.00-8.30 pagi. Pergi ke kaunter pertanyaan dan bertanya kepada staf Mahkamah, di mana kes akan didengar. Sesetengah tempat, ada disediakan meja untuk anda mendaftar.

 

2. Tunggu Kes Atau Nama Anda Dipanggil

  • Selepas mendaftar nama anda, duduk dalam Mahkamah dan pastikan anda tidak memakai jaket, topi, atau baju yang tidak sesuai. Sebaik-baiknya, pakai pakaian untuk ke pejabat.
  • Matikan atau senyapkan telefon anda.
  • Jangan pakai cermin mata hitam
  • Jangan berbual-bual dan dengar apa rayuan yang dibuat oleh Orang Kena Saman di hadapan Majistret.

 

3. Apabila nama anda dipanggil, sila ke hadapan dan dengar pertuduhan yang dibacakan oleh juru bahasa Mahkamah.

 

4. Fahamkan pertuduhan tersebut dan pastikan segala maklumat yang dibacakan adalah betul.

Antara maklumat tersebut adalah seperti berikut:

  • Jenis kesalahan
  • Nombor kenderaan
  • Warna kenderaan
  • Di mana kesalahan dilakukan
  • Hukuman terhadap kesalahan tersebut

 

5. Sesudah pertuduhan dibaca, Majistret akan tanya adakah anda mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah.

  • Sekiranya anda tidak mengaku bersalah, satu tarikh sebutan akan diberikan untuk anda melantik peguam.
  • Sekiranya anda mengaku bersalah, apa rayuan anda untuk kurangkan denda.

 

6. Antara faktor-faktor dan alasan rayuan yang boleh anda rayu adalah seperti berikut:

  • Jelaskan mengapa anda melakukan kesalahan tersebut. Contoh: Tayar kereta anda bocor ketika anda ingin menduduki peperiksaan. Motor anda sudah tamat tempoh dan anda terpaksa menggunakan motor tersebut untuk ke pusat peperiksaan untuk masa depan anda.
  • Kesalahan tersebut adalah kesalahan pertama yang anda lakukan.
  • Anda adalah penyara tunggal keluarga.
  • Anda baru sahaja memulakan kerja.
  • Kedua ibu bapa anda mempunyai masalah kesihatan.
  • Anda mempunyai banyak tanggungan.
  • Anda mempunyai masalah kesihatan.
  • Dan sebagainya.

 

7. Berikut adalah skrip untuk rayuan hukuman yang asas. Anda boleh ubah mengikut keadaan.

Dengan izin Tuan/Puan Majistret,

Saya, (sebutkan nama anda) adalah Orang Kena Saman dalam kes ini.

Saya mengaku salah atas kesalahan tersebut dan ingin membuat rayuan untuk pengurangan denda seperti yang berikut:

  • Saya adalah penyara tunggal keluarga dengan gaji bulanan/harian sebanyak RM______.
  • Saya mempunyai ______ tanggungan iaitu isteri saya dan ______ orang anak yang berusia antara ______ tahun hingga ______ tahun.
  • Saya juga menanggung adik saya yang masih belajar sebanyak RM______ sebulan.
  • Saya juga menanggung kos perubatan ibu/ayah saya yang menghidapi sakit ______ Kos perubatan tersebut kira-kira RM______ sebulan.

Dengan pengakuan salah saya ini, saya telah menjimatkan masa Mahkamah yang Mulia ini. Saya juga berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya memohon agar denda saya dikurangkan oleh Mahkamah yang Mulia ini.

Sekian, terima kasih.

 

8. Mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang difikirkan munasabah untuk kes anda.

 

9. Tunggu bil atau caj pertuduhan dengan hukuman diserahkan kepada anda oleh polis Mahkamah.

 

10. Bayar denda tersebut di kaunter bayaran.

 

11. Pastikan anda simpan resit tersebut untuk rujukan pada masa hadapan.

 

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jika anda rasa status ini memberi manfaat kepada orang lain, sila kongsikan dan tidak perlu meminta kebenaran saya. Terima kasih.

Mungkin anda boleh menghadiri ke mahkamah selepas ini dalam membuat rayuan terhadap kesalahan jalan raya yang dikenakan ke atas anda.

Mudah-mudahan dengan mengikuti tip yang diberikan oleh peguam ini, denda anda dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Jom kita memandu dengan berhemah.

 

Sumber: Fadil Mohd Yusof

Jom Komen