Nasihat Doktor Gigi, Jangan Jadi Ibubapa Yang Pentingkan Diri. ‘Kesian Anak Ini Sakit Gigi Kerana Salah Ibubapa’

Penjagaan gigi susu perlu dititikberatkan sedari awal bagi memastikan pembentukan gigi kekal yang sihat. Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa menjaga kebersihan gigi anak-anak bahkan semasa bayi masih belum mempunyai gigi, ibu bapa sudah dinasihatkan supaya sentiasa membersihkan gusi bayi dengan kain lembut.

Berdasarkan entri Dr.Irma Shida Abu Samah di dalam Utusan, beliau mengatakan karies gigi amat senang berlaku pada gigi susu jika tidak dijaga kebersihannya dengan optimum. Ini kerana gigi susu mempunyai enamel yang lebih nipis dan lebih cenderung terhakis.

Jika kebersihan gigi tidak dijaga, plak yang terkumpul pada enamel akan mengeluarkan asid yang melembutkan struktur enamel tersebut seterusnya terjadilah karies gigi apabila enamel tersebut melembut dan pecah.

Dr Intan Norsyazwani pula kecewa dengan sikap ibu bapa yang mementingkan diri sehingga mengabaikan penjagaan dan kebersihan gigi anak-anak. Berdasarkan status Facebooknya itu, beliau berkongsikan pengalamannya yang didatangi seorang ibu dan anaknya. Anaknya yang baru berusia 5 tahun perlu dicabut giginya kerana sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

JANGAN JADI IBU DAN AYAH YANG PENTINGKAN DIRI

Seorang ibu hadir ke klinik membawa seorang anaknya yang berusia 5 tahun dalam keadaan gusi membengkak. Si anak dalam kesakitan teramat sangat akibat gigi yang terlalu teruk dan besar kariesnya, tak tidur dengan nyenyak dari semalam. Asyik mengadu gigi sakit.

Bila diperiksa. Gigi yang berlubang besar tidak dapat lagi diselamatkan dan perlu dibuat cabutan.

Sayang sekali. Seawal usia 5 tahun, gigi susu yang sepatutnya bakal gugur di usia 10-11 tahun sudah kena dicabut.

Nasihat diberikan supaya diberi ubat antibiotik dan tahan sakit untuk kurangkan bengkak dan kesakitan yang dialami kerana gigi akan sangat sakit jika dicabut dalam keadaan sebegini.

Malangnya, jawapan yang diterima dari si ibu amatlah mengecewakan.

“Cabut je lah doktor. Malam-malam tak boleh tidur asyik sakit. Menangis je. Dah cabut nanti settle dah tak ada sakit dah.”

Sudah diterangkan keadaan anak akan sakit sangat, tapi diabaikan oleh si ibu dengan alasan saya kerjalah doktor. Bukan senang nak dapat cuti. Ni hari ni dah cuti, cabut jelah doktor.

Si anak berlinang air mata. Kadang-kadang bila ibu ayah dah berkeras, kami turutkan juga. Ketika dicabut, memang si anak menangis dan menjerit semahunya katanya sakit walaupun sudah diberi ubat bius setempat. Allahu, sukar untuk digambarkan. Bagi saya ibu dan ayah seperti terlalu pentingkan diri.

Bagi saya, jika orang dewasa dalam keadaan gusi membengkak pun takkan berani untuk terus beri giginya dicabut dan akan minta ubat bagi surut bengkak dahulu. Inikan pula si anak kecil.

Salah anda menyebabkan anak gigi rosak. Saya tak salahkan si anak. Didikan awal perlu diterap dari seawal usia anak anda walaupun sebatang gigi.

Lagi mengeruhkan keadaan, inilah pengalaman pertama si anak datang ke klinik pergigian untuk dirawat dan pengalaman itu adalah yang paling traumatik untuk si anak.

Cuba anda beri jawapan, bagaimana anak hendak suka datang berjumpa doktor gigi jika pengalaman pahit dan trauma yang anda berikan kepada mereka? Dan bagaimana anak nak suka jumpa doktor gigi jika anda pun jumpa kami bila sakit sahaja?

Bebelan,
Dr Intan Norsyazwani

#gambardarigoogle
#spreadawareness
#earlychildhoodcaries

Sumber: The Reporter

Jom Komen