Menteri Kewangan Jumpa PM Pagi Ini

Pagi tadi kelihatan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipercayai untuk membincangkan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan.

Guan Eng masih berdepan tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo yang didakwa di bawah harga pasaran dan didakwa melibatkan penukaran sebidang tanah maka timbul isu berkaitan kelayakan beliau menyandang jawatan utama tersebut.

Bagaimanapun usaha pemberita untuk mendapatkan reaksi beliau tidak berjaya.

Kenderaan yang membawa Guan Eng meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana kira-kira jam 10 pagi.

Semalam melalui sidang media, perdana menteri menyatakan lantikan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu sebagai menteri kewangan belum sah selagi beliau belum mengangkat sumpah jawatan.

Dr Mahathir berkata, setiap menteri dilantik perlu bebas daripada kesalahan berdasarkan laporan.

Ketika berucap pada ceramah mega ‘Sekalung Budi Membina Harapan’ di Padang Kota, malam tadi Guan Eng berikrar akan memastikan ‘kesihatan’ kewangan negara dapat dipulihkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih tampuk pentadbiran daripada BN pada PRU14 lalu.

Beliau berkata, selepas melihat penyata kewangan negara, pihaknya perlu bekerja lebih kuat untuk memulihkan kembali kewangan negara.

Sumber: Sinar Harian

Jom Komen