Mayat Kedua Mangsa Tragedi ‘Kepala Air’ Ditemui

Mayat kedua, mangsa tragedi ‘kepala air’ air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, dilaporkan ditemui tengah malam tadi.

Fenomena ‘kepala air’ berlaku pada Rabu lalu, telah meragut dua nyawa setakat hari ini, manakala dua lagi kanak-kanak masih hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hisham Ibrahim, jenazah Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, ditemui pada jam 12.40 tengah malam.

“Mangsa ditemui orang awam di perangkap sampah dalam sungai di Kampung Ulu Melaka, kira-kira 5.8 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, mayat Qistina Puteri Wira, 11, ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari tempat kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Dalam kejadian tersebut, dua kanak-kanak terselamat manakala dua lagi maut dan dua lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras.

Sehingga kini, Anis Syahtirah Saad, 12, dari Kampung Lawer dan Siti Aishah Kassim, 5, dari Bukit Malut masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi ini dengan pasukan bomba membuat pencarian permukaan sungai di Kampung Bukit Kemboja, di sini.

“SAR yang memasuki hari kedua turut membabitkan penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

 

Sumber: BH Online