Kritik Sultan Johor, Presiden Aswaja Bakal Disiasat

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat ceramah seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu dobi mesra muslim, lapor The Sun Daily.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, KDN akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera berhubung ceramah itu.

“Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan,” katanya dalam mesej ringkat kepada akhbar itu, semalam.

Akhbar berkenaan turut memuat naik klip video ceramah Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin yang dirakam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, Ahad lalu.

Dalam klip video kira-kira 6 minit itu, antara lain Zamihan berkata, isu dobi mesra muslim adalah perkara kecil, tetapi bising seluruh dunia.

“Ada sultan kata dobi mesra muslim tak patut diadakan di negeri beta…ini bukan Afghanistan negeri Taliban zam zam ala kazam. Tak patut tuanku sultan cakap macam tu. Maksud dobi mesra muslim ini adalah menunjukkan orang Islam ini mementingkan nilai suci lagi menyucikan,” katanya.

Selain itu, Zamihan juga berkata, pakaian orang Islam tidak boleh bercampur dengan pakaian bukan Islam.

“Cina, biasa kencing berak pun tak basuh….. peluk anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi peluk babi kena pakaian.. itu semua sinonim dengan mereka. Bukan kita nak prejudis. Unsur arak, babi, anjing sinonim dengan mereka. Kalau mereka nak basuh dobi pun dobi biasalah. Kita ni dobi mesra muslim yang mementingkan aspek najis mughalazah, najis mutawashitah perlu dibersihkan.

“Kalau kita nak kata ini dobi mesra muslim.. apa masalah. Masalahnya bila tuanku sultan sebagai ketua agama komen benda ini jadi besar masalah dan masalah ini dibawa oleh The Star. Kita tahu The Star itu ejen liberalisme. Orang cemburu tentang keislaman kita.

“Begitu juga ada dua orang mufti, Mufti Wilayah, Mufti Perlis komen benda ni.. tak patut dobi mesra muslim ada di Malaysia. Habis nak ada di mana? Cerdik dak mufti komen macam itu?.

“Saya Ustaz Zamihan cakap terus terang sahaja. Tuan-tuan terima Alhamdulillah, tuan-tuan tak terima saya saksi dengan Allah saya menyampaikan. Alhamdulillah. Nak manipulasi ka, nak rakam ka, nak edit video ka, tak ada masalah saya tak takut pun. Saya tanggungjawab ini bukan untuk dunia tapi untuk akhirat. Saya telah menyampaikan,” katanya.

Zamihan juga mencabar mana-mana pihak membawa klip video ceramahnya itu kepada menteri, raja, atau sultan.

Berikut adalah video ceramah yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.

Sumber: Ismaweb