Kes 1MDB, SPRM Mahu Siasatan Lanjut Tapi Apandi Menolak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa menemui bukti RM42 juta dipindahkan dari bekas anak syarikat 1MDB ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak pada lewat 2015, kata seorang ahli panel yang menyiasat fail kes suruhanjaya tersebut, lapor mStar Online.

Bagaimanapun, cadangan untuk melakukan siasatan lanjut telah ditolak oleh Peguam Negara, kata ahli panel Datuk Lim Chee Wee kepada Reuters.

Chee Wee berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah dimaklumkan mengenai penemuan bukti oleh SPRM pada lewat 2015 bahawa Najib menerima RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Apandi bagaimanapun enggan meneruskan siasatan, dakwa Chee Wee.

“AG (Peguam Negera) enggan menyiasat lebih lanjut meskipun bukti menunjukkan Najib menerima secara langsung atau tidak wang RM42 juta daripada SRC.”

Chee Wee dan seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr P.Sundramoorthy, seorang ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga berkata Apandi menolak permintaan berulang kali SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang daripada kerajaan asing bagi mengesan kehilangan dana daripada 1MDB.

Jelas Chee Wee, mereka tidak dapat mengesan wang tersebut kerana ia berada di luar negara.

“Kami terus beritahu AG… sila mohon bantuan undang-undang dari bidang kuasa lain untuk kami mengetahui jejak wang dalam bidang kuasa tersebut.

“Kami tahu pergerakan wang di Malaysia, tetapi apabila ia meninggalkan Malaysia, kami tidak tahu di mana wang itu pergi, “ kata Chee Wee.

“Berdasarkan siasatan panel, kami merasakan kes itu tidak sepatutnya ditutup kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa kes itu boleh disiasat lanjut,” kata Sundramoorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak ingat jumlah yang disyaki oleh SPRM yang diterima Najib daripada SRC.

Najib atau jurucakapnya gagal dihubungi melalui telefon untuk memberi komen berhubung laporan ini.

 

Sumber: mStar Online

Jom Komen