“Kau Tidak Tahu Rasa Pedihnya Hati Mengharap Dia Memanggil Umi” – Ibu Anak Autism Luah Perasaan

Advertisement
Advertisement

Ibu bapa mana yang tidak teringin melihat anak sendiri membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain.

Tatkala kita gembira dengan telatah anak kecil, ada ibu bapa yang sedang bersedih dan risau memikirkan masa depan anak autism mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak autism, sudah pasti ada 1001 macam perasaan yang terpendam di dalam hati.

Perkongsian daripada wanita yang mempunyai anak autism ini, jelas menggambarkan kesedihan dan kerisauannya sebagai seorang ibu.

UNTUK sekali lagi yang ingin tahu apa yang terbuku dalam hati seorang ibu kepada anak autism.

Kau tidak tahu bagaimana rasa hancurnya hati seorang ibu apabila melihatkan anak orang lain petah bercakap, tetapi anak kau hanya diam membisu, menyendiri dengan dunia khayalan sendiri. Kau tidak tahu rasa pedihnya hati mengharap dia memanggil umi sedangkan anak orang lain lunak bersuara memanggil ibu masing-masing.

Kau tidak tahu rasa pedihnya hati ini tatkala kau melihat anak orang lain sedang gembira berlari-lari, tetapi anak kau duduk sendiri yang tidak tahu erti berkawan. Kau tidak tahu rasanya kesedihan yang aku tanggung apabila melihatkan anakku sedang berdiri sendirian di hadapan tv sambil mengibas-ngibaskan tangannya.

Kadang kala tiba-tiba menangis, kadang kala ketawa entah kenapa. Sedang kanak-kanak sebayanya sedang gembira bermain dan mengerti apa yang berlaku sekelilingnya. Sehingga kini dia masih menarik tangan aku jika inginkan susu, makan dan sesuatu.

Aku pernah melihat anakku menangis sambil dia menghantukkan kepalanya di lantai dan berlari menghempaskan diri di dinding secara tiba-tiba. Aku pernah melihat anakku berjalan pelik dengan menjengketkan kaki.

Aku pernah melihat anakku ketawa tanpa ada apa yang melucukan hatinya. Aku pernah melihat anak ku mengigit bahu suamiku hingga biru kerana tidak mendapat sesuatu yang diinginkan. Aku pernah melihat anakku berpusing-pusing tanpa arah tujuan.

Sehingga kini, setiap hari aku melihat anakku menutup telinganya tatkala mendengar bunyi bising tanda dia rimas. Sehingga kini, aku berdepan dengan mood dirinya yang berubah-ubah. Kadangkala perlu ditarik dan didukung ketika dalam keramaian orang.

Terkadang dia meraung di kedai makan tidak mahu duduk dan suka melihat suami aku makan berdiri. Terkadang dia menyapu makanan yang dihidangkan ke kepalanya. Terkadang terpaksa bersengkang mata hingga 3 pagi menunggu dia mengantuk.

Aku menangis bila melihat gambarnya untuk memohon kad OKU. Aku tertawa melihat dia mengangkat kakinya ke muka aku tanda ingin membuka kasutnya. Aku bersyukur ada insan lain sanggup sayang, ikhlas dan menjaga dia tatkala aku sibuk mencari rezeki.

Aku pernah terlepas pandang, sekaliku pusing anakku hilang. Anakku pada ketika itu, tidak mampu bercakap walau usianya sudah 2 tahun 8 bulan. Kau tahu betapa gelapnya hidup aku ketika itu. Mujurlah Allah beri “pengajaran” supaya selepas ini aku tidak lagi alpa mata. Dengan pantas mencari cermin kerana aku tahu dia pasti sedang bermain dengan bayangan dirinya di cermin. Mungkin ini teguran dari Allah supaya aku tidak leka.

Berilah aku peluang untuk bergembira dengan anakku. Berilah aku peluang untuk “memperkenalkan” anakku. Aku berkongsi, bukannya tandanya hendak membangga diri. Aku ingin beri inspirasi kepada semua. Ingin juga memadam lara di hati ini, sedangkan diluaran aku masih tersenyum gembira.

Aku yakin kelebihan ini adalah “hadiah” dari Yang Maha Esa.

 

Sumber: Mak Jemah

Advertisement
Jom Komen