Kalau Mereka Nak Saman Saya, Saya Alu-Alukan – Mahfuz Cabar Pas Terengganu

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar mengalu-alukan hasrat Pas Terengganu untuk menyaman beliau berikutan dakwaan penerimaan wang oleh beberapa pemimpin Pas negeri itu, lapor Astro Awani.

Mahfuz, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan ia merupakan peluang terbaik baginya untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya semua penyata akaun bank yang berkaitan dapat didedahkan.

“Kalau mereka nak saman saya, saya terbuka dan alu-alukan dan menanti-nanti saman tersebut walaupun mereka sepatutnya saman pemilik laman Facebook yang mendedahkan maklumat tersebut.

“Kalau mereka nak saman saya, saya amat terbuka kerana itulah peluang untuk saya mendapatkan perintah mahkamah apabila perbicaraan nanti.

“Iaitu untuk pihak bank mengemukakan penyata-penyata akaun yang telah dimaksudkan, hasil pendedahan akaun Facebook tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.

Mahfuz berkata, beliau tidak menghalang pihak berkenaan memfailkan saman terhadapnya, sambil mendakwa, laman Facebook itu jelas menunjukkan wujud penyaluran wang daripada pihak UMNO kepada Pas.

“Ini termasuk dua, tiga orang individu pimpinan Pas di negeri Terengganu,” katanya.

“Saya hanya membuat persoalan yang perlu dijawab oleh pihak Pas itu sendiri. Pas tidak memberikan satu jawapan yang cukup meyakinkan masyarakat dan rakyat,” tambah Mahfuz.

Pada sidang media semalam, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata pihaknya menyerahkan kepada Ketua Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia Negeri Terengganu, Mohd Zabidi Yusof untuk mengambil tindakan lanjut.

Jelasnya, tindakan undang-undang yang diambil itu bukan didorong kenyataan Mahfuz yang mencabar Pas sebaliknya bertujuan menghentikan fitnah.

 

Sumber: Astro Awani

Jom Komen