Kajian Dr.Muhammed Buktikan Pemohon Kerja Melayu Alami Diskriminasi Daripada Syarikat Melayu Sendiri

Isu-isu di antara hubungan majikan dengan pekerja yang kerap kita dengari selalunya berkait rapat dengan isu gaji. Namun ada beberapa ketikanya muncul pula isu yang lebih sensitif seperti isu halangan solat Jumaat atau halangan pemakaian tudung bagi wanita Muslimah, yang sedikit sebanyak mampu membuatkan masyarakat kita semakin berpecah belah.

Adakah isu ini sebenarnya mempunyai masalah yang lebih mendalam berbanding apa yang kita lihat ketika ini? Besar kemungkinan ya, berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid, yang telah pun diterbitkan pada tahun 2013 dan mendapat reaksi banyak pihak.

Kajian yang dijalankan

Melalui kajian yang dijalankan menggunakan kaedah ujikaji lapangan, resume-resume pelajar yang baru saja bergraduasi dihantarkan kepada syarikat-syarikat yang memaparkan iklan jawatan kosong dengan jumlah panggilan semula dijadikan ukuran.

Dr. Lee dan Dr. Muhammed memulakan kaji selidik mereka pada Jun 2011 dengan mengambil contoh-contoh resume dalam bidang kejuruteraan, perakaunan serta kewangan lalu mencipta resume yang menepati kehendak syarat-syarat asas majikan seperti kelayakan dan kelulusan seiring dengan spesifikasi kerja. Resume-resume yang dibuat agar kelihatan seiring di antara satu sama lain, cuma perbezaan yang diwujudkan adalah perbezaan pada bangsa pemohon dan kebolehan berbahasa.

Sebanyak 3012 resume telah dihantar pada 753 iklan jawatan kosong pelbagai jenis yang memerlukan posisi di lokasi yang majoritinya Kuala Lumpur. Tempoh dua bulan dari tarikh penghantaran resume diambil, sebagai tempoh menunggu maklum balas dari pihak syarikat.

Selain daripada itu, untuk mengenalpasti latar belakang syarikat bagi mengelakkan keraguan, Dr.Lee dan Dr. Muhammed juga mendapatkan maklumat kesemua 753 syarikat terlibat bagi mengenalpasti syarikat yang dijadikan ujikaji, tergolong dalam kategori yang ditetapkan. Syarikat diasingkan mengikut pemegang saham dan pengarah daripada bangsa Cina, Melayu ataupun bangsa asing. Mereka hanya berjaya mendapatkan 689 maklumat syarikat dalam ujian.

Pemohon Melayu menghadapi diskriminasi?

Hasil ujian mereka mendapati, secara keseluruhan resume pemohon berbangsa Cina mempunyai kadar panggilan 22.1% berbanding pemohon bangsa Melayu yang hanya mendapat 4.2%. Ini bermaksud, bagi setiap seorang pemohon bangsa Melayu yang diberikan panggilan balas, terdapat 5.3 orang pemohon Cina yang turut sama berjaya dipanggil.

Dalam turutan kebarangkalian, paling ramai mendapat panggilan balas berdasarkan turutan adalah

1. Pemohon Cina untuk kerja kejuruteraan (24.8%)

2. Pemohon Cina untuk jawatan kewangan (19.1%)

3. Pemohon Melayu untuk jawatan kewangan (5.7%)

4. Pemohon Melayu untuk jawatan kejuruteraan (2.9%)

Beberapa dapatan lain dalam kajian ini menunjukkan mana-mana pemohon Melayu yang menyatakan kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin mempunyai tahap panggilan lebih baik berbanding yang tidak mampu. Bagaimanapun, simptom sama tidak pula menampakkan sebarang perbezaan apabila pemohon Cina menyatakan kebolehan mereka bertutur dalam bahasa lain.

Kelulusan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman atau UTAR mencatatkan panggilan balas paling tinggi di kalangan pemohon berbangsa Cina, dengan 25.4% dicatatkan berbanding 20.4% pemohon berbangsa Cina daripada universiti lain.

Syarikat Melayu pun diskriminasi pemohon Melayu?

Apa yang membimbangkan, kadar peratusan syarikat yang dikawal majoriti Cina (23.9%) dan warga asing (20.2%) memberikan panggilan balas kepada pemohon Cina dan bagi pemohon Melayu, nilai tersebut hanyalah 3.8% dan 1.9%. Yang lebih menyedihkan, syarikat milik bangsa Melayu juga 1.6 kali lebih tinggi peluang untuk memanggil pemohon Cina berbanding pemohon Melayu.

Walaupun begitu, berdasarkan maklumat yang telah mereka perolehi, tidak dapat disimpulkan adakah memang ‘bangsa’ menjadi penyebab berlakunya diskriminasi, kerana terdapat beberapa faktor lain seperti kebolehan berbahasa, syarat fasih bahasa dan juga profil syarikat. Atas faktor-faktor tersebut, hasil dapatan kajian ini perlulah dinilai secara lebih terbuka kerana komplikasi yang wujud daripada faktor-faktor tersebut, mampu juga mempengaruhi peluang pemohon ditemuduga.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Dr. Lee dan Dr. Muhammed, jelas pemohon berbangsa Melayu mempunyai kebarangkalian dianggap tidak sesuai dengan sesuatu pekerjaan. Secara terbuka, hal ini menunjukkan wujudnya beberapa keraguan di kalangan ahli masyarakat tentang kualiti pendidikan seterusnya kualiti graduan berbangsa Melayu.

Apakah yang dapat dilakukan bagi meningkatkan kualiti pemohon Melayu supaya mereka menjadi lebih kompetetif dalam sektor pekerjaan swasta? Itu cabaran yang bakal kita semua, daripada peringkat akar umbi hinggalah ke atas terpaksa hadapi.

Rujukan:

Kertas kajian repository UKM
Iluminasi

Jom ikuti kami di Instagram @penhitamdotcom

Jom Komen