Ini Yang Ibu-Ibu Perlukan Masa Berpantang, Tetapi Takut Nak Beritahu

Dua bulan pertama adalah tempoh yang sangat penting bagi ibu-ibu yang baru selamat melahirkan bayi untuk menenangkan diri. Tempoh ini digunakan untuk mendapatkan semula kekuatan mental dan fizikal, membina hubungan dengan anak, dan belajar menguruskan anak.

Ibu-ibu yang baru pertama kali melahirkan bayi, sudah pasti teruja dengan pengalaman baru ini. Bagaimanapun, mungkin ada ibu-ibu yang tidak tahu, tempoh ini yang juga merupakan tempoh berpantang, akan mendatangkan pelbagai perasaan seperti dilema, letih, sakit, sedih dan kecewa.

Ketika tempoh berpantang, ada banyak perkara yang ibu-ibu perlukan, tetapi kebiasaannya ibu-ibu ‘takut’ untuk meminta. Mungkin perkara ini kelihatan remeh pada sesetengah orang, namun percayalah bahawa ia akan memudahkan pengalaman berpantang buat ibu-ibu.

 

Perkara Yang Ibu-Ibu Perlukan Masa Berpantang, Tetapi Takut Nak Beritahu

1. Tidur

Ibu-ibu yang baru lepas melahirkan bayi memerlukan tidur yang cukup bagi membantu memulihkan kekuatan fizikal dan emosi mereka. Walaupun mendapat cuti bersalin selama dua bulan, ia tidak bermakna mereka mempunyai masa yang cukup dan rehat yang banyak.

Bayi yang baru lahir akan kerap terjaga meminta susu, tidak mengira masa, siang mahupun malam. Tahukah anda, menyusukan bayi setiap dua jam saja sudah cukup meletihkan. Apatah lagi mahu menukar lampin, memandi, menukar pakaian, memujuknya ketika menangis, dan sebagainya.

Kekurangan tidur jelas akan menggangu kesihatan dan emosi ibu-ibu.

Kredit Foto: Pinterest

 

2. Mandi

Bila berpantang, ibu-ibu disarankan untuk berstokin dan berpakaian panjang, dengan susu yang asyik tertumpah di pakaian, ibu-ibu sedikit sebanyak akan berasa rimas dan tidak selesa. Mulalah rasa nak mandi.

Bagaimanapun, hati rasa tak tenteram bila nak mandi. Takut anak menangis dan sebagainya. Terpaksalah ibu-ibu mandi ala kadar dan rasa tak puas.

Kredit Foto: Huffington Post

 

3. Makan

Masa berpantang adalah masa yang melaparkan. Tapi, nak memasak ketika berpantang memang tak ada masa. Setakat nak makan roti cicah milo panas boleh lagi. Untunglah kalau ibu-ibu dapat suami yang memahami dan pandai memasak. Tapi, rasa segan pula datang, bila hari-hari minta suami masak.

Kredit Foto: Local Guides Connect

 

4. Masa Bersendirian

Lepas bersalin adalah tempoh untuk berehat. Tapi lain pula yang jadinya. Waktu inilah ramai orang datang berkunjung untuk melihat bayi baru. Padahal, kita masih belum bersedia untuk menerima tetamu. Dengan keadaan bayi yang mungkin belum sihat sepenuhnya, sudah tentu akan meletihkan.

Kredit Foto: Pinterest

 

5. Bantuan Dengan Kerja-kerja Rumah

Cuti atau tidak, berpantang atau tidak, kerja rumah tetap ada. Malah, mungkin lebih banyak dari yang sebelumnya. Sifirnya mudah, bila bertambah isi rumah, maka bertambahlah kerja rumah.

Kredit Foto: Sciencedaily

 

6. Kemesraan Daripada Suami

Hubungan intim dengan suami harus dielakkan beberapa minggu selepas melahirkan bayi. Ini kerana fizikal ibu belum bersedia untuk menerima pergerakan yang aggresif. Bagaimanapun, ibu-ibu adalah wanita, wanita sudah tentu ingin rasa dihargai, disayangi, dan dicintai.

Namun, ramai ibu-ibu yang berasa malu dengan keadaan fizikal mereka yang kurang menarik selepas bersalin. Ditambah pula dengan emosi yang tidak stabil, sudah pasti menyukarkan ibu-ibu untuk meluahkan hasrat yang bersarang di hati.

Kredit Foto: Pinterest

 

7. Kata-kata Positif

Saat berpantang, apa yang ibu-ibu perlukan adalah kata-kata semangat untuk memastikan fizikal dan mental mereka kekal positif. Kata-kata dan komen berbentuk kritikan dan sindiran sangat tidak membantu mereka ketika ini.

Kredit Foto: Twitter Dr. Kim Allen

 

Pen Hitam

Ibu-ibu sudah tentu ingankan yang terbaik untuk bayi mereka. Namun, ada masanya ibu-ibu perlu utamakan diri sendiri demi kebaikan orang lain. Apabila keperluan diri ibu-ibu dipenuhi, emosi menjadi stabil, dapat berfikir dengan lebih rasional, membuat keputusan dengan bijak dan seterusnya mencintai bayi dan suami dengan sepenuh hati.

 

Sumber: Sirap Limau