Hazama Bertatu Dalam Video Muzik ‘Aku Bukan Dewa’

Video muzik Aku Bukan Dewa, yang menampilkan Hazama, 33, dengan badan bertatu dan rambut ala Bob Marley, mengundang pelbagai persepsi daripada netizen.

Memetik laporan BH Online, Hazama berkata, konsep tersebut dipilih sesuai dengan mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu, Aku Bukan Dewa, yang dilancarkan baru-baru ini.

Tambahnya, video berkenaan mengisahkan mengenai seorang banduan yang baru saja dibebaskan dan ingin memulakan hidup baharu.

“Lagu ini mempunyai mesej mendalam yang perlu dihayati menerusi muzik video terbabit.

“Klip berkenaan pula dirakam di Pulau Kapas, Terengganu, kerana secara peribadi, saya memang mencintai pulau.

“Jadi, tatu dan rambut panjang itu menjadi perlambangan kepada dosa lalu yang cuba untuk dihapuskan.

“Biarpun majoriti peminat memahami konsep badan bertatu khas untuk muzik video ini, namun ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan saya itu,” katanya.

Penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Aku Yang Sebenar, beberapa bulan lalu, berkata, beliau mempunyai strategi tersendiri untuk tampil relevan dalam persada seni tempatan.

“Produk terbaru ini menampilkan sisi matang peralihan saya sejak mula berkecimpung dalam bidang seni.

“Saya bukan sekadar mempertaruhkan vokal semata-mata, tetapi turut memberi kelainan dari segi genre muzik,” katanya.

 

Sumber: BH Online