Hatyai 2 Hari 1 Malam, Cara Untuk Bercuti Di Hatyai Dengan Bajet Bawah RM150 Seorang

Siapa kata nak bercuti perlukan duit riban-riban? Cik Ana NabillaNabella kita ni bercuti dekat Hatyai dengan bajet bawah RM150 je.

Tak percaya? Jom baca perkongsian beliau.

 

HATYAI 2 HARI 1 MALAM

Pukul 11.15 pagi kami bertolak dari Alor Setar. Sebelum masuk Thailand isi minyak bagi full sebab kat sana nanti minyak mahai.

Kami bawak MYVI isi 25 liter (RM57.75). Singgah Changlon beli insurans kereta dan dia tolong isikan borang putih untuk kita.

Bayaran insurans dan kertas putih RM29 sahaja. Masa buat insurans ni kena tunjuk geran kereta, passport pemandu dan penumpang.

Dalam pukul 12.15 Tengahari kami sampai di Bukit Kayu Hitam. Kat imigresen Malaysia tak payah turun kereta, bawak ja kereta dan berhenti kat kaunter imigresen tu then bagi passport pemandu dan penumpang kat pegawai imigresen. Lepas dia cek dia akan bagi balik.

Masuk ke sempadan Thailand di Danok, kita tak perlu turunkan penumpang. Bawak ja kereta beratur di kaunter imigresen. Sementara tengah beratur, pemandu kena turun pergi kaunter pendaftaran bawa masuk kereta (minta orang lain ganti jadi pemandu sat sementara nak daftar kereta).

Borang pendaftaran bawa masuk dan keluar kereta yang telah diisi oleh pegawai mereka akan bagi, borang tersebut perlu bagi di kaunter imigresen Thailand semasa proses cop passport. Dah selesai urusan kereta, masuk semula dalam kereta.

Sampai kat kaunter untuk cop passport, semua penumpang dan pemandu kena turun dan berikan passport serta borang pendaftaran bawa kereta. Jangan selit duit dalam passport lagi, bila dia minta baru bagi. Kami haritu dia minta 40baht untuk 4 orang.

1.40 Petang selesai urusan di sempadan. Kami semua dah lapar. Singgah Danok makan tengahari di kedai NORLAILA. Order nasi putih, tomyam, ayam goreng kunyit, daging bakar, ulam-ulam dan sambal belacan dan telur dadar.

Makan untuk 4 orang 550baht. Sudah makan kami p kedai beli simkad nombor baru 150baht & Topup 110baht (topup ni untuk nombor yang sedia ada dah yang kawan punya).

2.45 Petang bertolak ke Samila Beach. Lebih kurang jam 4.00 Petang kami sampai (lambat sebab ikut waze dan internet pula problem, tengah jalan dia putus). Keychain boleh beli kat Samila Beach ni.

7.45 Malam pergi Floating Market. Kat sini syurga makanan. Aku beli kerabu megi 40Baht, wai wai 60 Baht. Kat sini pon ada jual keychain juga.

8.30 Malam sampai Asean Night Market. Kat sini pon syurga makanan jugak tapi hampa kena tengok dulu orang jual tu sebelum beli. Kat sini depa campur yang halal dan tak halal (aku tak beli makanan pon) Beli baju ja habis 140Baht.

Kat sini takdak jual keychain no. Tandas pon tak dak air, so kena bawak botol kosong siap-siap.

Dah letih jalan seharian. Pukul 10 malam baru nak check in hotel. Hotel tempah online kat Agoda. Hotel HI SEASON HATYAI Bilik Triple (1 katil double, 1 katil single) 1 malam RM89.72. Bilik puas hati sangat sebab berbaloi dengan harga.

Dalam Bilik disediakan Tv, Pengering Rambut, ada plug kaki 3 (Malaysia), Plug banyak tak payah nak berebut atau tunggu giliran nak caj HP, ada tuala, shampoo dan sabun, ada peti ais dan botol air minuman. Bilik air luas, bilik besar aircond sejuk, dan free wifi.

Esok tu kami sarapan sekali makan tengahari dekat kedai KAITODDECHA. Makan untuk 4 orang kena 1260Baht.

Lepas makan, p ronda kat Lee Garden. Kat sini la kami kena ligan dengan polis (kalau Malaysia Majlis Perbandaran la kot tengok dia dok saman kereta parking tepi jalan).

Kami pon tak tau apa punca kami lari, padahal polis tu dok senyum ja kat kami sambil tu dia dok ikut kami. Rasa macam pelik ja, kami cepat-cepat terus p kat kereta start dan belah macam tu ja.

Better lepas ni kalau nak pergi Lee Garden naik tut tut ja sebab kat sini susah gila nak dapat parking.

Lepas tu kami ke Central Festival Hatyai. Kat sini semua kereta hebat-hebat. Beg tangan pon harga 101400Baht (lebih kurang RM12,000 macam tu). Parking free.

4.30 Petang p Floating Market sekali lagi sebab nak beli keychain.

7.30 Malam sampai sempadan Thailand. Beratur di kaunter tak perlu turun dari kereta. Bagi balik borang pendaftaran masuk kereta kat pegawai imigresen Thailand tu dan cop passport.

Macam biasa imigresen Thailand akan minta duit tepi. Kami bagi 40 baht juga untuk 4 orang.

 

KOS BERRCUTI

  • Minyak RM60 / 4 Orang – RM15
  • Insurans RM29 / 4 Orang – RM7.25
  • Hotel RM90 / 4 Orang – RM22.50 *tempah kat Agoda
  • Makan kat Danok 550Baht / 4 Orang – RM18
  • Makan kat Hatyai 1260Baht / 4 Orang – RM39
  • Duit tepi 80Baht / 4 Orang – RM2.50

Total : RM104.25 (Tidak termasuk shopping)

Kalau tak termasuk makan RM47.25 ja.

 

Sumber: Ana NabillaNabella

Jom Komen