Hanya Perlukan 20 Minit Untuk Siap Masak Jika Guna 7 Tips Ini!

Masak? Aduhhhh, persoalan yang sering bermain difikiran ialah, nak masak apa? Lauk apa? Apa yang cepat masak? Apa yang senang?

Setuju tak sebenarnya ramai yang mempunyai masalah sebegini kerana ianya melibatkan ‘mood’ memasak kita dari yang kurang rajin, jadi terus malas memasak. Hehehe.

Sebenarnya, kalau anda bijak menguruskan bahan dapur, ia boleh dilakukan dengan begitu ekspres sekali! Ini 7 tips yang sangat berguna oleh Puan Rajenaz Nazira.

1. Pengasingan Lauk

Semua ayam, udang, sotong siang dan basuh siap-siap kecuali ikan. Ikan jangan basuh ya. Siangkan sahaja, kalau basuh, ikan akan jadi cepat rosak walaupun dibekukan (frozen).

Seperkara lagi, jangan bekaskan ikut jenis sahaja. Tapi kena bahagikan juga ikut kuantiti nya. Contohnya, kalau sekali masak kita hanya akan guna 4-5 ekor ikan, jangan simpankan 10 ekor ikan sekali dalam satu bekas. Sebabnya, apabila kita defrost, sebaik-baiknya terus masak. Jangan asyik keluar masuk peti sejuk sebab ia tak elok dan boleh mengundang toksik.

2. Bekaskan Bahan Memasak

Nampak tak bekas-bekas saya. Mula-mula tergugat juga nak pakai Tupperware, tapi memandangkan banyak lagi tempat saya boleh salurkan peruntukan tersebut, saya guna bekas ini saja. Yang penting, bekas transparent ini mudah untuk kenal pasti kandungannya. Kalau rajin, boleh labelkan untuk mempercepatkan lagi proses memilih bahan.

Pengasingan semua bahan memasak ini adalah amat penting bagi mengekalkan kualiti serta memperpanjangkan tempoh ketahanan.

3. Kopek Bawang

Setiap hujung minggu saya akan kopek bawang merah, bawang besar, dan bawang putih. Ingat ya, bawang merah dan bawang besar bersifat penyerap bakteria (sebab itu kita boleh gunakan sebagai alternatif untuk rawat demam panas dan selsema). Jadi kalau kopek kulit, kena terus masukkan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti ais.

Bila nak masak, ambil ikut keperluan untuk ditumbuk atau dihiris. Tak payah buang masa lagi nak kopek kerana ia sebenarnya boleh melambatkan proses memasak.

5. Tumis Cili

Menumis cili blend prosesnya memang leceh. Mana tidaknya, kalau menumis habislah dinding dapur merecik, nak kena lap sana sini, dan ianya ambil masa yang agak lama juga. Kalau betul-betul masak, barulah boleh hasilkan masakan yang sedap.

Jadi, siapkan cili kisar yang dah siap tumis mengikut kuantiti seminggu terus (atau yang sesuai dengan kekerapan memasak kita). Bila dah tumis dan dah terbit minyak, bekaskan untuk disimpan dalam peti ais.

Kalau peti ais bawah, paling lama boleh simpan seminggu saja ya. Kalau banyak, simpanlah sebahagian dalam ‘freezer’, boleh tahan sampai 3 bulan. Bila nak masak, ambil cili yang dah bertumis. Mudah dan cepat.

5. Basuh & Rendam Sayur Dengan Garam

Sayur ini masalahnya cepat layu dan rosak. Apa kite boleh buat, lepas beli sayur, basuh dan rendam dengan air garam untuk lebih kurang 5 minit. Kemudian, toskan dan masukkan ke dalam bekas. Proses ini boleh melanjutkan tempoh kesegaran sayur.

Bila nak masak ambil terus dari bekas. Cara ini boleh menjimatkan masa juga sebab tak payahlah kita nak beli sayur setiap hari.

6. Buat Senarai Menu Masakan

Ini yang paling penting. Senaraikan menu makanan dalam seminggu. Tulislah senarai untuk ditampal di peti ais, smart phone, atau mana-mana kertas. Percaya atau tidak, kita sebenarnya banyak buang masa memikirkan apa yang kita nak masak.

Jadi, buatlah perancangan awal sambil ‘share’ resepi-resepi dalam Facebook.

7. Ikut Turutan Yang Betul

Bila nak mula memasak, semak senarai menu, dan buat pilihan. Kalau yang bekerja, balik saja buka pintu rumah – jangan tanggal tudung, jangan tukar baju, jangan duduk-duduk lagi. Pergi defrost lauk DAN masak nasi.

Ingat, 2 perkara inilah yang paling ambil masa. Lepas dah buat 2 perkara ini, bolehlah pergi buat apa yang patut dan bersedia untuk masak lauk.

Macam 2 lauk ini, saya dapat siapkan dalam masa 20 minit. Sup sayur dengan fish cake untuk anak-anak. Ayam masak kicap cili kering (agak complicated sebab ayam dan kentang saya goreng asing dulu dan baru masukkan).

Cepat Siap, Sinki Pun ‘Clear’

Dengan tips memasak cepat ini, ‘confirmed’ cepat siap. Paling lama, 30 minit. Dan, sinki pun siap bersih sekali. Semoga tips memasak ini dapat membuat kita cepat, ‘happy’ dan ikhlas memasak untuk keluarga. Bila ikhlas, pahala pun untuk kita.

Jom cuba!

Sumber: Sirap Limau & Fb Rajenaz Nazira