Hafiz Fail Cerai Terhadap Joy

Krisis perkahwinan antara penyanyi, Hafiz Hamidun dan usahawan kosmetik, Joy Revfa bakal berakhir apabila Hafiz memfailkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, hari ini.

Dia yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Hafiz turut mendakwa Joy Revfa melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasi beliau, selain memberikan alasan bahawa tidak wujud persefahaman antaran mereka dalam pernyataan samannya.

“Joy juga menyusahkan saya selepas bernikah kerana gagal memberi sijil cerai dengan bekas suami yang mana menyebabkan status perceraian mereka hanya diselesaikan pada 10 Oktober lalu,” katanya.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk sebutan bagi pendengaran kes itu.

Saman berhubung permohonan cerai itu akan diserahkan kepada Joy Revfa, pada sidang media yang akan dijalankan di Mahkamah Syariah Shah Alam pada petang ini.

Menurut Hafiz, dia terfikir untuk memfailkan perceraian itu dua hari lalu, selepas kes pengesahan cerai antara Joy Revfa dengan ahli perniagaan, Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim pada 12 Januari 2015 disahkan Mahkamah Syariah Shah Alam.

“Banyak isu tergantung ketika perkahwinan dengan bekas suaminya. Pihaknya (Joy Revfa) mendapat hikmah daripada keputusan mahkamah Selasa lalu dan banyak perkara dapat diselesaikan.

“Keadaan itu sebelum ini memberi impak kepada hubungan kami,” katanya.

Apabila ditanya mengenai dakwaan Joy Revfa yang mereka pernah ‘bersama’, bekas anggota UNIC itu berkata, Joy Revfa seharusnya waras dan sedar dengan apa yang diperkatakannya.

Hafiz turut memaklumkan dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy Revfa masih mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan dirinya kepada umum namun buat masa sekarang dia hanya mahu fokus pada kes syariah.

“Sebenarnya saya tidak berminat langsung dengan apa yang dia luahkan dalam media sosial. Saya tidak mahu layan apa yang dia cakap kerana kenyataannya tidak berasas dan ia lebih kepada emosi,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro