Guru Tadika Ikat Mulut & Tangan Murid

Memetik laporan Harian Metro, tindakan seorang kanak-kanak perempuan mengikat mulut dan tangan adik lelakinya telah membongkar rahsia perbuatan seorang guru tadika yang melakukan perbuatan yang sama terhadap kanak-kanak itu.

Jasleen , kanak-kanak terbabit yang berusia 5 tahun, pernah diikat di bahagian mulut dan tangan ketika berada di tadika yang terletak di Setapak.

Guru tadika mangsa bagaimanapun memberi alasan bahawa tindakannya itu dilakukan bagi mengajar mangsa yang dikatakan nakal supaya tidak membuat bising serta bergerak.

Menurut Tee Aai Hong, 36, Ibu mangsa, dia hanya menyedari Jasleen pernah diikat di bahagian mulut dan tangan selepas melihat Jasleen melakukan perbuatan yang sama terhadap adik lelakinya yang berusia dua tahun.

Ibu mangsa yang terkejut kemudiannya meminta Jasleen untuk menjelaskan tindakannya itu sebelum diberitahu oleh Jasleen bahawa dia diperlakukan sedemikian oleh guru tadikanya beberapa kali.

Tee Aai Hong berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada guru tadika terbabit namun kecewa dengan jawapan yang diberikan guru itu yang mendakwa tindakannya mengikat mulut dan tangan Jasleen adalah bertujuan mengajar Jasleen yang dikatakan tidak duduk diam dan bising.

“Jasleen didakwa kerap bergerak dan memegang rambut menyebabkan guru itu terpaksa mengikat tangannya pada tempat duduk supaya dia tidak bergerak.

“Dia turut mendakwa mengikat mulut Jasleen kerana anak saya terlalu bising,” kata ibu mangsa.

Lebih mengejutkan lagi, apabila guru terbabit turut melakonkan semula tindakannya itu selain menunjukkan seorang murid lelaki diikat di bahagian tangan pada kerusi tadika.

“Wanita itu memaklumkan tindakan mengikat mulut dan tangan murid perkara biasa dilakukan mereka di tadika berkenaan sebagai tindakan mendisiplinkan murid.

“Penjelasan guru terbabit tidak masuk akal kerana perbuatan itu sama sekali tidak sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang masih kecil.

“Saya faham dengan keadaan kanak-kanak yang nakal, namun bukan itu caranya mengajar mereka,” katanya.

Susulan daripada itu, ibu mangsa membuat keputusan untuk memberhentikan anaknya dari tadika itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu.

 

Sumber: Harian Metro