FBI, DOJ Mengesahkan Mereka Tidak Dapat Kerjasama Dengan Kerajaan Terdahulu

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa tidak mendapat kerjasama pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), ketika pemerintahan kerajaan terdahulu (BN).

Perkara itu disahkan menerusi pertemuan kedua-dua pihak itu bersama Pasukan Petugas 1MDB, pagi tadi.

Dalam kenyataan medianya, Petugas Khas 1MDB berkata, FBI sebelum ini pernah menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

“DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui ‘Mutual Legal Assistance’ (MLA) kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017.

“Bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” katanya.

Perbincangan itu dipengerusikan bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Dalam pertemuan diadakan di Kompleks Pejabat Perdana Menteri itu, pasukan petugas khas, FBI dan DOJ membincangkan hala tuju serta fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah MLA dan proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di Amerika.

“Hasil daripada mesyuarat ini, FBI dan DOJ juga bersetuju memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan terhadap skandal 1MDB.

“Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Jom Komen