Dalam Wallet Ada RM250, Saya Bagi RM200. Rupanya Ini Yang Allah Aturkan

Perkongsian ini diambil dari status FB Hazwan Faiz, satu kisah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap aturan rezeki yang Allah telah tetapkan.

Percaya dan yakin pada janji atau aturan Allah, mencerminkan tahap keimanan seseorang muslim.

Mulut boleh mengucapkan kata yakin. Namun, hati jualah yang benar-benar mengetahuinya.

Pada ketika ini, tidak ramai muslim yang benar-benar yakin dengan aturan dan janji Allah.

Hinggakan bersedekah pun perlu disuruh.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama, jadikan tulisan Hazwan Faiz ini sebagai teladan untuk kita tingkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap aturan rezeki yang Allah telah tetapkan.

Foto Kredit: FB Hazwan Faiz

Tulis Hazwan Faiz,

DARI RM200 MENJADI RM XXX,XXX

Tajuk tu memang nampak riak, tapi rilek dulu, baca cerita sampai habis.

Begini tuan puan, awal bulan oktober ini saya ke Sabah untuk event festival beli belah sebagai vendor selama dua hari.

Sejak awal hari lagi, dah ada beberapa ujian yang saya terima. Flight delay, cuaca buruk (turbulence tinggi) dan jalan di Sabah jammed teruk.

Saya teringat kata kawan yang kalau benda-benda ini jadi, jangan mengeluh dulu. Sangka baik dekat tuhan. Saya pun ok.

Malam itu juga, di tapak dewan, saya dan staff mula setup booth. Sebab sejuk hujan, saya lari ke tandas sekejap.

Di tandas ada seorang makcik dalam umur 40 an dan anak lelaki baya enam tahun bersihkan tandas lelaki.

Kami tak bercakap. Tapi bila nak keluar tandas, sempat saya hulur pada anak makcik sikit duit bekal ke sekolah. Hari pun tamat.

Esok festival berlangsung dengan gegak gempita. Cerita saya pendekkan, sebab tak ada yang menarik untuk dikongsikan.

Tapi, saya dan team agak sugul sebab target sale tak sampai. Jauh sangat tersasar.

Tapi saya nasihat staff dan keluarga supaya steady dan sabar. Sebab kena yakin pada aturan tuhan.

Tak apalah, tujuan lain hendak jumpa customer baru dan lepak-lepak.

Tapi sepanjang dua hari itu, mestilah saya ulang alik ke tandas yang sama dan yelah, makcik dan anak lelakinya tetap di situ setia lepak cuci tandas.

Cuma…

Saya dapat borak sikit dengan makcik tu, dia cerita dia memang kerja cuci tandas dewan tu tak kira ada event atau tak. Gaji RM600.

Anak ada enam. Seorang dah meninggal dan bila dia cerita yang anak dia yang meninggal tu sebab dia tak sempat nak bawa ke hospital sebab dia kena juga kerja dan duit tak ada.

Saya rasa nak teriak satu tandas. Tapi saya steady lagi sebab ada brader tengah berak dan saya memang tengah tunggu brader tu selesai.

Makcik tu cakap, gaji tak cukup tapi apa nak buat itu je dia boleh kerja. Anak kecil lagi. Suami dia saya tak tanya lah mana pergi.

Ok, saya buka wallet. Dalam tu ada RM250. Saya bagi RM200. Ingat nak bagi semua tapi jap lagi anak nak minum jenuh pulak sebab ATM jauh sangat nak pergi.

Masa ini saya tak fikir apa cuma rasa tak patut betul kalau saya tak bagi. Makcik itu terkejut dan terus doa semoga tuhan balas jasa saya (baca di luar tandas).

Lepas festival Sabah tamat, esok nya kami memang rancang buat online sale di website. Dalam 4 hari tu, macam ribut orang masuk website dan order.

Betul saya tak sangka. Staff kelam kabut. Berguni-guni beg pos laju kami bagi pada posmen.

Selama 4 hari, sungguh jualan kami dapat RMxxx,xxx. Satu rekod bagi kami selama kami berniaga di website. Nak menangis pun ada.

Saya menung kejap, teringat makcik di tandas tu. Mungkin juga doa makcik tu makbul?

Mungkin juga sale saya di Sabah haritu tuhan sengaja bagi sikit sebab nak uji saya ni sangka baik ke tidak dengan dia?

Teringat juga pesan mak mertua, dia kata kalau senang kan orang, Allah mudah senangkan kita.

Yang penting, kena sangka baik dengan Allah. Banyak atau sikit yang dia bagi mesti ada sebab.

Allahu.

 

Sumber: FB Hazwan Faiz

Jom Komen