Che Ta Rugi RM50 Ribu Ditipu Individu Bergelar Datuk

Sebelum ini, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal mendakwa ditipu seorang individu bergelar Datuk membabitkan produk minyak wangi.

Kini, Rozita Che Wan pula tampil membuat kenyataan yang beliau turut menjadi mangsa penipuan Datuk yang sama, juga membabitkan produk minyak wangi, sejak tahun lalu.

“Saya ingat, saya boleh mempercayai dirinya. Tetapi rupa-rupanya dia berniat jahat apabila menipu saya hingga mengalami kerugian sebanyak RM50,000.

“Bayangkan, banyak duit yang diperolehnya dengan hasil penipuan. Malah, dia boleh tukar kereta mewah, tambah isteri dan macam-macam lagi dengan hidup menipu orang.

“Saya akhirnya memutuskan untuk menghalalkan saja. Insya-Allah, saya reda. Biarlah hidupnya tidak senang kerana menyusahkan orang dan semoga dia juga akan berubah,” katanya.

Menurut Rozita Che Wan yang dikenali sebagai Che Ta, beliau enggan membesarkan perkara berkenaan sebelum ini kerana tiada hitam putih dalam kerjasama yang dijalinkan.

“Begitupun, walaupun tiada kontrak mahupun perjanjian secara hitam putih, bukti pembayaran tetap ada.

“Saya malas hendak menghebahkan perkara ini, apatah lagi membuat laporan polis kerana silap saya juga apabila tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya.

“Merayu dan meminta pun tak diendahkannya. Tak apalah, doa orang yang teraniaya selalunya dimakbulkan,” katanya.

Rozita yang ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta umrah Imtiyaz Travel & Tours, hari ini, merancang untuk membawa 20 anggota keluarga serta sanak saudara ke Makkah pada Januari depan bersama agensi kembara berkenaan.

Program umrah bersamanya itu turut membuka penyertaan kepada peminat dan orang awam.

 

Sumber: BH Online