Bukan HINDRAF Yang Tuntut, Jangan Keliru HINDRAF 2.0 Bukan HINDRAF

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), mendakwa pihaknya tidak pernah mengemukakan sebarang permintaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau kepada Majlis Penasihat Kerajaan serta kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Institusi (Institutional Reforms Committee), lapor BH Online.

Pengerusi HINDRAF, P Waytha Moorthy, berkata pertubuhan dikenali sebagai HINDRAF 2.0 diketuai P Uthayakumar yang meminta kerajaan mempertimbangkan senarai 25 permintaannya semalam, bukan sebahagian daripada HINDRAF dan tidak wujud pertubuhan dengan nama sedemikian.

Katanya, HINDRAF tidak pernah sekali pun menuntut perkara seperti diminta Uthayakumar dan pihaknya beranggapan perjuangan sudah tamat dan kini adalah masa untuk membina Malaysia baharu.

“HINDRAF 2.0 bukanlah sebahagian daripada pertubuhan HINDRAF dan kami tidak pernah sekali pun mengemukakan permintaan kepada kerajaan seperti dinyatakan Uthayakumar.

“Malah, sejak tahun 2009 lagi, Uthayakumar bukan ahli HINDRAF berikutan hasratnya ingin menubuhkan parti politik sendiri,” katanya.

Semalam, HINDRAF 2.0 menerusi Uthayakumar, meminta kerajaan mempertimbangkan senarai 25 permintaan seperti penyediaan tanah rancangan FELDA kepada kaum India berpendapatan rendah dan membuka kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada semua kaum.

Permintaan Uthayakumar itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk masyarakat yang mengecam permintaan berkenaan.

Waytha Moorthy berkata, tindakan Uthayakumar mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan memenuhi beberapa tuntutan, kelmarin, menimbulkan kekeliruan, marah dan benci dalam kalangan masyarakat.

Katanya, HINDRAF sedia menerima semula Uthayakumar jika peguam yang juga aktivis masyarakat itu berhasrat berbuat demikian.

“Mengelirukan orang ramai dengan nama pertubuhan hampir sama tidak membantu perjuangan HINDRAF yang mencari penyelesaian masalah masyarakat sejak sekian lama.

“Bagi HINDRAF, perjuangan dilakukan sejak dua tahun lalu sudah tamat apabila PH berjaya membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Waytha Moorthy berkata, lebih setahun lalu, HINDRAF sudah menjalin kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Menerusi kerjasama dengan PH, kita sudah menyertai lebih 300 siri kempen jelajah seluruh negara dan sepanjang tempoh itu, Uthayakumar tidak menyertainya.

“Beliau sendiri juga tidak pernah menyokong langkah kerjasama dengan Dr Mahathir atau dengan PH,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terhadap beberapa isu berbangkit sejak sekian lama.

 

Sumber: BH Online

Jom Komen