Bayi Ini Jadi Mangsa Asap Rokok

Akibat terhidu asap rokok, seorang bayi berusia setahun terpaksa menanggung derita setelah mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan darahnya

Ibu bayi berkenaan, Sayang Nadzirah Salleh, 28, berkata, anaknya, Muhammad Nazmeen Haqeel Shahrol Nizam dimasukkan ke Hospital Pantai Batu Pahat setelah mengalami demam panas sehingga suhu badannya mencecah 40 darjah Celsius.

Beliau bernasib baik kerana datang awal ke hospital, dan mengikut kata doktor, anaknya itu boleh terkena sawan jika lambat.

“Kalau kami lambat adik mungkin kena sawan sebab badannya panas dan menggigil walaupun kami dah tuam dengan tuala basah untuk turunkan suhu badannya.

“Adik ditahan di hospital selama enam hari dan sepanjang dimasukkan ke wad, kahaknya disedut dan diberi lima jenis ubat termasuk antibiotik setiap tiga jam. Memang tak pernah perkara ini berlaku kerana dalam rumah kami tiada yang merokok,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima kunjungan Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat yang diketuai pengerusinya, Mohd Hamidi Mad Tap di rumahnya di Kampung Patah Pedang, Minyak Beku, kelmarin.

Sayang Nadzirah berkata, sebelum anaknya sakit, dia sekeluarga ada mengunjungi sebuah warung di Jalan Kluang.

Katanya, dia sekeluarga singgah untuk makan malam dan ketika itu memang ada pelanggan lain yang menghisap rokok.

“Selepas kejadian ini, memang serik nak bawa anak ke tempat yang ada orang merokok. Saya harap perkara ini sama-sama dijadikan iktibar,” katanya.

Sumber: Sinar FM