8 Kerja Seorang Isteri Yang Memenatkan, Tapi Tak Ada Siapa Nampak

Kalau anda sangka dengan menjadi surirumah sepenuh masa akan membuatkan anda hidup tenang, tidak penat dan tanpa masalah, maka anda silap.

Sebenarnya, menjadi surirumah sangat meletihkan. Lebih letih daripada anda kerja di pejabat. Ada masanya anda sendiri tidak tahu kenapa anda rasa terlalu penat.

Ini kerana, banyak kerja yang dilakukan oleh seorang isteri dalam menguruskan rumah tangga, namun, tiada siapa nampak akan hasilnya.

 

1. Memikirkan Menu Harian

Perkara ini mungkin nampak remeh pada sesetengah individu, terutama suami. Selepas kerja, balik saja rumah, makanan semua telah terhidang.

Tetapi, tahukah anda, “manu apa hari ini?” adalah soalan yang dirasakan terlalu sukar untuk dijawab oleh seorang isteri.

Perkara ini, berlaku setiap hari. Pelikkan? Ditambah pula kalau ada anak kecil. Menunya sudah tentu berbeza daripada orang dewasa.

Kredit Foto: I Am A Food Blog

 

2. Uruskan Anak Ke Sekolah/Taska

Setiap hari, baju sekolah akan dipastikan tergantung kemas bergosok. Beg sekolah diisi dengan kelengkapan untuk keesokkan harinya. Kelengkapan yang tidak diperlukan akan dikeluarkan daripada beg sekolah. Begitulah rutin harian si ibu.

Bagi anak yang masih menyusu, si ibu akan memikirkan bagaimana cara untuk menyimpan stok susu agar susu tidak mudah rosak dan berada dalam keadaan baik sepanjang anak berada di taska.

Ada ibu yang terpaksa bangun seawal 4-5 pagi setiap hari bagi menguruskan kelengkapan si anak. Nampak senang, tapi banyak kerja.

Kredit Foto: She Knows

 

3. Mengingati Aktiviti Anak

Seorang ibu ibarat kalendar anak-anak. Dia lebih tahu aktiviti anaknya di sekolah berbanding anaknya sendiri.

Esok kena pakai baju sukan, ibu sudah sediakan. Esok ada kelas tambahan, ibu sudah maklumkan. Esok ada perjumpaan dengan guru, ibu terlebih dahulu menunggu.

Bayangkan kalau ada 3-4 orang anak, tapi mereka dapat ingat dengan jayanya. Hebatnya seorang ibu, segala data tentang anak sudah tersimpan dalam otak mereka persis sebuah komputer.

Kredit Foto: suntparinte.ro

 

4. Mengingati Temujanji Doktor

Ibu bukan saja akan mengingati tarikh-tarikh penting di sekolah, malah dia turut mengingati tarikh temujanji dengan doktor.

Tak kiralah temujanji untuk kehamilan, vaksinasi anak, pergigian atau check-up bulanan. Kadang-kadang masa mereka dihabis dengan perkara-perkara seperti ini.

Kredit Foto: perezpulido.org

 

5. Membeli Barang Dapur/Rumah

Zaman sekarang, biasanya isteri akan bagi senarai barang yang perlu dibeli kepada suami dan suami akan membeli barang-barang tersebut.

Bagi suami, kerja-kerja membeli barang dapur ini dilihat sebagai satu kerja yang remeh. Tapi kalau nak tahu, walaupun hanya satu bahan saja tak cukup, si isteri akan pening kepala nak ubah menu. Jadi, janganlah dicatu senarai barang tadi.

Selain itu, perasan atau tidak, bila barang seperti tisu, sabun, penyembur nyamuk dah nak habis, si isteri akan menggantikannya dengan yang baru. Lihatlah betapa pekanya mereka.

Suami kebiasaannya dia guna saja, bila tak ada baru dia tanya.

Kredit Foto: koolmaxgroup.com

 

6. Mengemas Rumah

Kerja-kerja mengemas rumah tak akan pernah habis. Setiap hari ada saja yang perlu dikemas. Bila rumah nampak kemas, jarang ada yang menghargai. Tapi bila bersepah, mulalah ada yang mengkritik.

Kredit Foto: diynetwork.com

 

7. Merancang Sambutan Perayaan

Ibu adalah insan yang paling rajin dan paling serabut sekali jika ada sebarang sambutan perayaan. Nak beli kek di mana, hadiah anak, dan undangan tetamu sekiranya ada.

Bila tiba Hari Raya, ibu jugalah yang akan sibuk buat/beli kuih raya, kelengkapan dapur, hiasan rumah, dan cari baju untuk anak-anak.

Kebiasaannya, hanya ibu yang lebih tahu akan saiz pakaian anak-anak mereka.

Kredit Foto: mahamahu.com

 

8. Merangka Jadual Anak-anak Di Rumah

Ibu-ibu ibarat cikgu di rumah. Bila anak-anak balik dari sekolah, anak-anak akan dibekalkan dengan aktiviti di rumah. Jadi, anak-anak tidaklah bosan tanpa sebarang aktiviti.

Kredit Foto: bethparmar.co.uk

Pen Hitam

Jika difikirkan, wanita yang bergelar, ibu/isteri ini sememangnya hebat. Mereka mampu menyelesaikan banyak kerja dalam satu masa. Kalau bukan meraka yang buat kerja-kerja di atas, tak tahulah siapa yang akan buat.

Sekalipun kerja-kerja di atas nampak remeh dan mudah, namun ia sebenarnya memakankan tenaga banyak dan mental yang kuat. Sebab itu, kalau sentuh soal ‘kerja’ mereka dia rumah, mereka cepat tersentuh.

Cuba bayangkan sehari tanpa isteri di rumah, haru biru hidup anda. Oleh itu, hargailah usaha isteri anda setiap hari, walaupun mereka kelihatan macam ‘tak buat apa-apa’.

 

Sumber: Sirap Limau